Super Child fokus runut bunyi drama


Memilih untuk menempa nama menerusi platform lagu runut bunyi drama, Super Child yang dianggotai Zwen Addeen, 26, dan Aizat Shah, 28, percaya dengan strategi yang diaturkan pihak pengurusan mereka.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Hype Beat Sdn. Bhd. dengan kerjasama Rusa Music, Super Child percaya strategi tersebut menjadi platform buat mereka bertapak dalam industri hiburan.

Ujar Aizat selaku gitaris, pihak pengurusan pasti mempunyai perancangan tersendiri apabila memilih lagu nyanyian mereka untuk dijadikan runut bunyi drama.

“Sebelum ini, single pertama kami iaitu Ku Rindu dijadikan runut bunyi bagi drama Umairah yang ditayangkan menerusi slot Samarinda.

“Malah, single terbaharu kami juga berjudul Janjinya Syurga turut digunakan untuk drama Teratai Kemboja,” jelasnya yang menceburi bidang nyanyian secara separuh masa.

Katanya lagi, besar kemungkinan single ketiga nyanyian Super Child yang ditubuhkan pada tahun 2016 itu juga turut difokuskan untuk runut bunyi drama.

Bercerita berkenaan single kedua mereka, Zwen selaku vokalis pula memberitahu, lagu tersebut merupakan ciptaan Akir Hyper Act dengan liriknya ditulis oleh Frozen.





Persaingan

Jelasnya, lagu berkonsepkan ketuhanan itu mula dilancarkan sejak 9 April lalu dan juga boleh didapati menerusi platform digital.

“Lagu ini sudah disiapkan pada tahun 2009 sebelum pihak pengurusan membuat keputusan untuk menggunakan Janjinya Syurga bagi drama Teratai Kemboja.

“Kami mengambil masa selama dua bulan untuk proses merakamkan lagu tersebut beserta muzik videonya sekali,” ujarnya yang sebelum ini merupakan penyanyi latar bagi runut bunyi drama dan filem terbitan Metrowealth International Group (MIG).

Persaingan

Ketika ditanya persaingan yang bakal dihadapi, Super Child yang juga merupakan anak didik kumpulan Hyper Act itu menganggap persaingan penting dalam industri seni untuk mereka maju ke depan.

“Kami tidak nafikan persaingan pasti wujud apatah lagi banyak band baharu ketika ini yang berbakat. Namun, kami menganggap ia merupakan persaingan sihat di dalam industri.

“Sebenarnya persaingan ini bagus untuk kita terokai sisi dalam diri yang boleh diperbaiki lagi,” jelas Aizat.

Malah katanya, sebagai sebuah band, mereka berdua perlu mempunyai semangat yang sama bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan anggota band.

Kongsi Zwen, mereka lebih selesa bergerak berdua walaupun pada hakikatnya mengakui memerlukan sekurang-kurangnya empat anggota untuk sebuah band.

“Walaupun Super Child hanya dianggotai kami berdua, itu tidak mematahkan semangat kami untuk memperjuangkan genre muzik iaitu rock balada dan R&B Pop,” ujarnya mengakhiri bicara.


Post a Comment

Previous Post Next Post