Tajul Ariff Saya hanya menyanyi


Umum mengetahui pelantun lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul Ariff pernah digosipkan bercinta dengan Wany Hasrita kerana keserasian mereka sebagai pasangan duet menerusi single Di sana Cinta Di sini Rindu dan Rindu Dalam Benci.

Malah, single ketiga nyanyian Tajul berjudul Hasrita yang dicipta sepenuhnya oleh Haron Ahmad turut dikatakan dituju khas buat penyanyi wanita itu.

Sehubungan itu, Tajul menerima banyak kecaman selepas klip video lagu tersebut dimuat naik menerusi laman YouTube pada 27 April lalu. Setakat ini, klip video itu menerima lebih 1.6 juta tontonan.

Ikuti temu bual bersama Tajul yang ditemui pada majlis pelancaran lagu raya berjudul Girang Syawal Tiba di Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh komen sedikit berkenaan single terbaharu Tajul yang dikatakan dituju khas buat Wany Hasrita?

TAJUL: Saya sedar perkara itu kerana ramai yang memberi komen berkenaan hal itu selepas klip video lagu Hasrita dimuat naik dalam laman YouTube. Jika diikutkan, bukan saya yang tulis dan hasilkan lirik untuk lagu tersebut.

Saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyanyikan lagu itu.

Saya faham kerana sekiranya bercerita mengenai judul lagu itu, sudah tentu hanya nama Wany sahaja yang sedang meningkat naik ketika ini.

Adakah anda sudah menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku ketika menerima lagu tersebut untuk dinyanyikan?

Sejujurnya ya. Hal ini kerana judul tersebut sahaja pasti khalayak akan kaitkan dengannya.

Judul single terbaharu saya itu bukan datang daripada saya, tetapi sebaliknya syarikat rakaman yang berikan. Saya ingin tegaskan yang saya hanya menyanyikannya sahaja kerana ia membabitkan urusan kerja.

Beralih kepada kerjaya lakonan pula, filem pertama lakonan Tajul berjudul Enjin No. 9 nampaknya gagal mendapat sambutan. Boleh berikan komen?

Saya tidak pasti sambutan terhadap filem tersebut bagaimana tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berlakon. Jika orang mempersoalkan mutu lakonan saya, mereka perlu faham itu merupakan filem pertama saya.

Saya sudah cuba buat sehabis baik untuk filem itu dan juga bukan berasal daripada bidang lakonan. Malah, saya tidak memasuki kelas lakonan.

Bagaimanapun, saya mempunyai perancangan untuk memasuki kelas lakonan bagi memperbaiki apa yang patut jika berkelapangan selepas ini.





Boleh kongsi perkembangan terkini anda?

Saya sudah mengeluarkan mini album yang memuatkan lima lagu termasuk sebuah lagu duet sejak bulan lalu. Bercakap dari segi lakonan, jika tiada aral telemovie lakonan saya berjudul Tergantung Rindu bakal disiarkan pada 9 Jun depan untuk siaran Astro Citra. Menerusi telemovie itu saya bergandingan dengan Wany Hasrita dan Haqiem Rusli.

Bercerita berkenaan Ramadan, apa aktiviti yang sering dilakukan sekiranya tiada komitmen kerja pada bulan mulia ini?

Pada kebiasaannya saya akan tidur tetapi tidaklah sepanjang hari kerana nanti batal pula puasa saya. Selalunya saya akan tidur separuh hari dan selepas itu akan melakukan pelbagai aktiviti lain seperti membaca al-Quran atau buku sementara menanti waktu berbuka puasa.

Selain itu, aktiviti wajib setiap kali tibanya Ramadan ialah mengunjungi bazar pada sebelah petang. Menu wajib saya ialah murtabak dan air jagung selain kuih-muih.

Pada kebiasaannya, selebriti lain memilih untuk berehat apabila tibanya Ramadan. Bagaimana pula dengan anda?

Setakat ini, saya tidak berehat sepanjang Ramadan kerana mempunyai tuntutan kerja untuk mengadakan persembahan pada majlis-majlis berbuka puasa.

Jika diikutkan rehat pun sekadar yang mencukupi kerana sibuk dengan urusan kerja, apatah lagi kini terlibat sebagai duta bagi koleksi baju raya Mydin selain berlakon.


Post a Comment

Previous Post Next Post