Ratu Kala Jengking intai pasaran global


Karyawan dan pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda bersemangat sewaktu hadir menjayakan sidang akhbar naskhah berkenaan di pejabat urusan A. Aida Productions, di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengambil inspirasi daripada filem-filem Bollywood dan P. Ramlee, penerbit tersohor, Datuk A. Aida kini proses penerbitan sebuah filem seram adaptasi daripada kisah benar iaitu Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Tidak sahaja menerapkan elemen suspen filem yang dibintangi oleh Nadia Brian, Ammar Asyraf, Datuk Fizz Fairuz, Mas Khan, Fauziah Nawi, Firman dan Zul Huzaimi itu bakal diselitkan dengan lima muzik video, seperti yang lazim dipersembahkan menerusi karya Bollywood.

Menurut A. Aida, beliau yakin pendekatan sebegitu akan menarik minat penonton tempatan kerana ia akan membuatkan penghayatan cerita lebih mendalam dan terasa seperti benar-benar berlaku.

Aida yang bertindak selaku penulis skrip filem memberitahu, tujuan pemilihan kisah Ratu Kala Jengking atau Cik Siti yang berasal dari Kota Tinggi Johor dibuat kerana mahu menembusi pasaran luar dengan cerita dongeng rakyat Malaysia.

“Saya mendapat inspirasi untuk menulis skrip filem ini selepas drama terbitan saya iaitu Cik Siti yang mengambil inspirasi kisah sama mendapat sambutan hangat apabila ditayangkan tahun lalu menerusi TV3.

“Saya percaya jika kita menjual kisah rakyat ke negara luar sama seperti yang dilakukan penerbit Barat kepada kita menerusi kisah Snow White, Cinderella dan Beauty And The Beast, ia mendapat perhatian yang luas,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar filem berkenaan di ibu pejabat A. Aida Productions baru-baru ini.





Cabaran

Sementara itu, Bade Azmi selaku pengarah naskhah berkenaan memberitahu, ini merupakan kali pertama beliau mengarahkan sebuah produksi yang mempunyai jumlah pelakon seramai 36 orang kesemuanya.

Kata Bade, tugas menguruskan 36 orang pelakon dalam satu-satu masa bukanlah tanggungjawab yang mudah kerana mereka akan bersama-sama di lokasi penggambaran di Kota Tinggi, Johor selama hampir 35 hari tanpa rehat.

“Saya tidak boleh menjelaskan suasana di set penggambaran, namun yakin, setiap pelakon yang dipilih berbakat, berdisiplin dan mudah bekerjasama.

“Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda ialah sebuah karya yang bagus dan saya sudah membaca skrip yang ditulis oleh A. Aida serta merasakan ia sebuah cerita yang berbeza daripada kisah dongeng biasa,” katanya.

Tambah Bade lagi, beliau juga sudah sedia maklum dengan permintaan A. Aida yang mahukan konsep ala Bollywood dan bersedia untuk memenuhinya dengan sebaik mungkin.

“Saya jarang tidak mengubah skrip cerita arahan sendiri, namun kali ini, saya akan mengikut apa yang diingini oleh A. Aida kerana yakin dengan visinya,” ujarnya Bade yang memulakan penggambaran filem berkenaan di Kota Tinggi pada 1 Mei lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post