Kehendak seni Remy Ishak


Bukan sengaja ingin mempolitikkan temu bual dengan pelakon Remy Ishak yang dilabel sebagai tall, dark and handsome seperti mana jolokan diberikan kepada ahli politik, Khairy Jamaluddin oleh ramai netizen.

Kebetulan, selepas ‘landskap politik’ negara berubah 360 darjah sejak 9 Mei lalu, di gelanggang seni tidak kurang hebohnya.

Selepas kerajaan bertukar tangan daripada Barisan Nasional kepada gabungan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini, timbul ‘idea geliga’ siapakah pelakon yang layak melakonkan watak ahli politik negara jika pilihan raya paling meriah dan bersejarah dalam sejarah itu difilemkan.

Antara yang menjadi sebutan ialah Datuk Rahim Razali paling layak melakonkan watak Tun Dr. Mahathir, Dr. Wan Azizah Wan Ismail diterjemahkan oleh Dian P. Ramlee, Datuk Rosyam Nor sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kismah Johar (Tan Sri Rafidah Aziz). Dan semestinya, Khairy atau popular disapa sebagai KJ paling layak dilakonkan oleh ‘kembarnya’, Remy Ishak.

Lakon watak KJ

Dilayangkan pertanyaan tersebut kepada pelakon yang cukup popular menerusi drama Nur Kasih itu, Remy atau nama lengkapnya, Mohammad Zalimei Ishak berkata, dia bersedia untuk melakonkan watak mantan Menteri Belia dan Sukan itu jika jalan ceritanya bagus dan bersesuaian dengan kehendaknya sebagai seorang pelakon.

“Saya tidak rasa wajah saya sama dengan KJ. Kalau diberi tawaran untuk watak itu, memang seronok. Bagaimanapun, saya perlu tengok dahulu skrip dan jalan ceritanya.

”Saya tiada masalah andai kena dengan jalan ceritanya kerana bagi saya apa yang penting, skrip itu,” kata Remy, 36, yang turut mengakui takut disamakan dengan KJ.

Berbicara lebih lanjut tentang kariernya termasuk tawaran watak seperti seorang bapa yang belum pernah dibawakannya, tanpa berselindung Remy memberitahu, dia menolak untuk memainkan karakter seumpama itu.

“Bukan saya tidak mahu melakonkan watak bapa kerana tidak mahu dilabel sebagai tua. Cuma, kalau sesebuah naskhah itu sepenuhnya menonjolkan watak seorang bapa, itu saya belum bersedia. Berilah kepada orang lain yang lebih layak seperti pelakon lebih senior.

“Kasihan kalau semua watak ingin saya ambil, bagaimana dengan nasib pelakon senior yang lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Remy menerangkan bahawa dia hanya akan lebih bersedia melakonkan watak seorang bapa andai sudah berumah tangga dan sudah mempunyai anak sendiri kelak.





Berat badan, Ramadan

Sementara itu, Remy juga rancak bercerita tentang kerja kerasnya menjayakan karakter lasak seni tempur campuran (MMA) bernama Johan dalam filem arahan pengarah Khabir Batia berjudul Sangkar.

Menerusi filem tersebut, dia memegang karakter lasak yang perlu seiring dengan rakan gandingannya, Zul Ariffin.

“Zul Ariffin badannya bersaiz besar, jadi saya perlu seiring dengan dia agar tidak nampak perbezaan yang jauh.

“Jadi, ketika ini setiap hari saya ke gimnasium selama dua jam dari pukul 6 hingga 8 pagi. Pada sebelah malam pula, saya kena buat latihan seni mempertahan diri campuran (MMA) sepenuhnya,” kata Remy.

Justeru itu, untuk mendapatkan badan yang sasa dengan otot yang padat, Remy perlu menambah berat badannya yang selama ini dalam lingkungan 73 kilogram (kg) kepada 90kg sahaja. Menjadi cabaran buatnya, penggambaran tetap berjalan walaupun pada Ramadan.

“Untuk mendapatkan otot yang besar, saya perlu tambah berat badan kepada 90kg dan kemudian kembali turun kepada 84kg. Kemudian, turun lagi kepada 73kg kerana ada adegan saya lumpuh dalam filem ini.

“Apabila berat badan sudah bertambah sebenarnya saya tidak rasa selesa. Ingin berjalan pun rasa berat dan pergerakan pun jadi perlahan. Tambah lagi, penggambaran turut berjalan pada Ramadan dan perlu menyesuaikan diri dengan baik,” ujarnya.

Bagi menambah berat badan kepada 90kg, kata Remy, dia perlu melipatgandakan jumlah pengambilan makanan dengan fokus kepada lebih kandungan protein.

“Sebelum ini, saya makan lapan kali sehari untuk mempercepat naik berat badan. Jadi, saya banyak makan nasi dengan ayam dan telur. Bulan Ramadan ini, jadual makan sudah bertukar kerana berpuasa. Namun saya tidak mahu prestasi saya di set penggambaran terganggu,” terang Remy yang menolak untuk berlakon drama televisyen buat masa sekarang.

Selesa dengan Khabir

Bercerita mengenai sebuah filem lain iaitu Pulang, Remy menyifatkan karya arahan Khabir Bhatia luar biasa kerana secara lahiriahnya, ia seperti ada kaitan dengan dirinya. Bukan itu sahaja, dia amat selesa bekerja dengan sutradara yang begitu sinonim dengannya.

“Saya memang selesa bekerja dengan Khabir. Saya sudah tahu dia punya perangai dan mudah untuk saya ‘memberi’ kerana sudah faham dengan caranya,” katanya.

Filem Pulang yang akan ditayangkan selepas Aidilfitri adalah inspirasi sebuah kisah benar mengenai datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios sendiri, Datuk Ahmad Izham Omar bernama Othman yang menjadi kelasi kapal sekitar tahun 1940.

Othman mengembara ke segenap dunia bagi mencari kekayaan buat isterinya, Che Tom sehingga satu saat, dia tidak mampu pulang menemui keluarga dan terpaksa menetap di luar negara.

“Datuk saya dan adiknya juga adalah kelasi dan sama-sama menetap di lokasi yang sama dengan Othman iaitu di Liverpool.

“Sekarang, datuk saudara saya yang saya panggil Tok Din masih hidup dan menetap di sana tetapi kerap pulang ke Malaysia. Dimaklumkan yang datuk saya sendiri pernah bertemu dengan (datuk) Othman ini,” kata Remy.

Malah kata Remy, saat membaca skrip asal filem tersebut, bulu romanya meremang apabila Izham memberitahunya yang beliau pernah berjumpa dengan Chief of Malay Sailor Club di Liverpool.

“Saya tahu datuk adalah orang yang bertanggungjawab mengusahakan kelab itu di Liverpool. Sebab itu, saya anggap filem ini sangat dekat dengan saya kerana seakan-akan ada ikatan batin yang zahirnya tidak nampak,” Kata Remy menggulung perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post