Semangat hidup Dahlan Zainuddin


Bagai mati hidup semula. Dua tahun lalu, penyanyi veteran era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin diserang angin ahmar ketika membuat persembahan di Perlis dan sejak dari situ, beliau tidak lagi dilihat aktif menyanyi. Atas nasihat doktor, beliau lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Baru-baru ini, bertempat di Hotel Concorde Kuala Lumpur, wajah redup Dahlan dapat disaksikan banyak pihak. Pada majlis yang diberi nama Kisah Seorang Biduan, Dahlan kelihatan bersemangat. Pada usia 77 tahun, beliau bersyukur kerana masih dipanjangkan hayat dan diberikan peluang untuk terus bernafas oleh Tuhan.

“Alhamdulillah, keadaan saya sekarang semakin pulih, namun masih perlu berjaga-jaga. Kalau sekali lagi diserang angin ahmar, keadaan akan menjadi lebih buruk.

“Saya harus berehat dan jaga pemakanan dengan baik. Selain itu, temu janji dengan doktor tidak boleh diabaikan. Bagaimanapun, keadaan kesihatan saya sekarang okey. Saya sudah boleh menyanyi dan berjalan,” jelas pelantun lagu Joget Kaki Lima itu tenang.

Isteri Dahlan, Effa Rizan, 57, yang juga penyanyi berkata, buat masa sekarang dia dan suami tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap, namun bersyukur kerana banyak pihak yang sudi menghulurkan bantuan.

“Abang (Dahlan) sudah tidak boleh menyanyi sangat. Jadi, untuk menampung belanja harian, saya perlu bekerja dengan menerima undangan nyanyian. Sejak dia jatuh sakit, saya perlu kuat dan tabah meneruskan kehidupan.

“Kalau dulu saya berniaga jual kuih tart terutama pada bulan puasa, namun sekarang, komitmen saya tertumpu kepada perihal untuk menjaganya di rumah,” kata Effa.





Tambahnya lagi, mereka terpaksa menjual kereta untuk meringankan beban perbelanjaan perubatan dan harian.

“Kami jual kereta kerana sekarang sudah ada kemudahan seperti Grab dan sebagainya. Senang untuk kami bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Bercakap soal ubat pula, tiada masalah kerana ia percuma daripada kerajaan,” katanya.

Dapat rumah PPR

Effa turut mendedahkan, dia mendapat bantuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di PPR Seri Aman, Jinjang Utara. Bagaimanapun, Effa dan suami merancang untuk berpindah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Alhamdulillah, rumah yang kami sewa sekarang di Ampang setiap bulan perlu bayar RM1,400 sebulan. Nanti pindah PPR hanya perlu bayar ratusan ringgit sahaja. Jimat sedikit di situ.

“Biarlah selepas raya nanti kami pindah kerana sekarang sedang sibuk untuk menstabilkan kehidupan. Ingin jaga abang lagi dengan status kewangan yang sempit. Justeru, lepas raya adalah masa yang terbaik untuk berpindah,” jelas Effa menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post