Sedekad yang lalu, Mulan Jameela pernah menggemparkan industri muzik Nusantara menerusi single Makhluk Tuhan Paling Sexy.
Gemilang karier Mulan pada waktu itu memancar cerah, lebih-lebih lagi selepas isteri kepada vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani itu mencipta sukses menerusi kumpulan vokal Ratu dua tahun sebelumnya.
Namun sayang, sukses yang digapai Mulan hanyalah sementara. Selepas melancarkan single Makhluk Tuhan Paling Sexy dan Wonder Woman, pemilik nama lengkap Raden Terry Tantri Wulansari itu seperti hilang daripada radar dunia hiburan.
Walaupun cuba memenangi kembali hati peminat pada tahun 2013 menerusi album studio kelima iaitu 99 Volume 1, namun, tiada satu single pun yang dipetik daripada album tersebut meninggalkan impak yang besar dalam kalangan penggemar.
Justeru, selepas lima tahun tanpa sebarang album, Mulan kembali dengan buah tangan baharu berjudul 99 Volume 2: Patience.
Tidak seperti album-albumnya terdahulu, 99 Volume 2: Patience disalut dengan muzik yang lebih moden. Ia dilihat sesuai dengan aliran hiburan zaman sekarang.
Dibuka menerusi trek lagu Bye Bye Boy, pendengar dengan cepat dapat mendengar gaya garapan muzik untuk lagu tersebut yang sangat segar dan urban.
Ia menjadi lebih menarik apabila memiliki lirik campuran Inggeris. Lagu yang turut menampilkan pendatang baharu, Jebe dan Petty itu boleh disifatkan sesuai untuk memperkenalkan album 99 Volume 2: Patience secara keseluruhan.
Apabila bercakap mengenai Mulan, pasti rona suaranya yang unik menjadi subjek utama dan hal tersebut ditonjolkan oleh Mulan dengan jayanya menerusi lagu Jangan Berhenti.
Begitu juga menerusi lagu Aku Mau Kamu, Mulan cuba mengembalikan erotik lenggok suaranya menerusi karya yang turut disuntik dengan elemen dangdut dan rock tersebut.
Mulan turut mempertaruhkan dua buah lagu berentak balada. Salah satu yang menarik perhatian adalah lagu pada trek ketiga berjudul Trauma.
Biarpun ia bukan lagu yang mencabar vokalnya secara total, namun ia memberi gambaran kecil bahawa Mulan mampu menyanyikan lagu berentak balada dengan baik.
Ahmad Dhani turut menyumbangkan dua buah lagu dalam album terbaharu Mulan. Selain Bye Bye Boy yang dijadikan sebagai pembuka 99 Volume 2: Patience, Dhani menggarap Boneka Barbie yang turut menampilkan vokal undangan penyanyi baharu, Ramli.
Secara keseluruhan, 99 Volume 2: Patience boleh dikategorikan sebagai album yang baik. Sungguhpun kualiti produksinya bagus, namun album ini secara keseluruhan tidak mampu menandingi lagu-lagu yang terkandung dalam album Mulan Jameela.
Pendengar seringkali sukar untuk melupakan sesebuah lagu yang bersifat ikonik, biarpun seseorang artis itu hadir dengan lagu-lagu baharu.
Tidak keterlaluan dikatakan, badi Makhluk Tuhan Paling Sexy masih melekat kuat dengan Mulan dan barangkali, dia sendiri sukar untuk mencari karya yang setanding atau lebih baik daripada single berhantunya itu.