Awie tolak politik demi Wings


Awie memilih untuk tidak menerima satu jawatan yang ditawarkan sebuah parti politik tidak lama dahulu atas nasihat bapanya demi menjaga perasaan semua peminat.

Biarpun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah berakhir dan menyaksikan pemerintahan kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, demam politik seluruh negara nampaknya masih belum kebah.

Sebagai rakyat Malaysia, perkara yang sama dirasai oleh vokalis kumpulan rock Wings, Datuk Azhar Othman atau Awie.

Menurut Awie, PRU-14 menggamit nostalgianya terhadap penglibatan secara tidak langsung dalam dunia politik suatu ketika dahulu.

Akui Awie, beliau pernah ditawarkan jawatan dalam sebuah parti politik, bagaimanapun terpaksa menolaknya demi komitmen dan kelangsungan kerjaya bersama kumpulan Wings.

Meletakkan soal politik di tangga kedua, sempena kehadiran bulan Ramadan, mewakili kumpulannya, Awie bercerita tentang majlis Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings di Hotel Premiera Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 26 Mei nanti.

KOSMO!: Boleh kongsikan pengalaman Awie tentang pilihan raya?

AWIE: Sebenarnya saya telah didedahkan dengan dunia politik sejak kecil kerana sering mengikut bapa yang aktif berpolitik ketika itu. Sebut sahaja apa pekerjaan ketika musim pilihan raya, semua telah saya lakukan.

Contohnya, mengambil upah memasang bendera, membantu orang berkempen dan menjadi pemerhati ketika hari mengundi. Biarpun masih muda, pengalaman itu telah membuka mata saya tentang dunia politik.

Adakah anda berminat untuk menyertai dunia politik?

Sejujurnya, beberapa tahun lalu ada pihak menawarkan saya jawatan dalam sebuah parti politik. Waktu itu saya akui, memang agak berminat. Namun, selepas mendapat nasihat daripada bapa, saya batalkan niat tersebut.

Kata bapa saya, jika sayangkan kerjaya seni dan kumpulan Wings, lebih baik lupakan sahaja tawaran itu. Peminat Wings mesti ada perbezaan fahaman politik, jadi jangan mencari musuh. Nasihat itu yang saya pegang sehingga hari ini dan hanya fokus kepada kerjaya seni.





Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?

Saya baru pulang dari selatan Thailand kerana menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang bertajuk Bila Tuhan Berbisik Cinta arahan Raja Mukhriz. Drama sebanyak 13 episod itu mengambil latar sebuah sekolah pondok di perkampungan kecil dan dijangka disiarkan sekitar November depan.

Apa yang membuatkan anda bersetuju menerima tawaran berlakon dalam drama tersebut?

Saya tertarik dengan skrip drama itu dan Raja Mukhriz benar-benar berkarya dalam kerjanya. Namun, saya serik untuk berlakon lagi dalam drama bersiri kerana terikat dengan komitmen panjang.

Bayangkan saya tidak berjumpa keluarga hampir 10 hari kerana penggambaran, selain terpaksa mengejar waktu untuk menyelesaikan setiap babak dengan kadar segera. Pada usia 50 tahun, ini bukanlah kerjaya impian.

Maknanya anda sudah serik berlakon dalam drama bersiri?

Boleh dikatakan begitu. Sebelum ini saya ada berlakon dalam drama bersiri Mak Cun 4 tetapi hanya pelakon undangan. Mungkin setahun sekali bolehlah saya terlibat dalam drama jika skripnya menarik.

Namun, untuk menjadikan ia sebagai kerjaya tetap bukanlah pilihan saya. Hal ini kerana selain lakonan, saya mempunyai banyak komitmen lain termasuk Wings.

Bagaimana dengan aktiviti sepanjang bulan Ramadan?

Alhamdulillah pada bulan Ramadan tahun ini, kumpulan Wings kembali buat kali kedua di Hotel Premiera Kuala Lumpur iaitu menjelang 26 Mei nanti. Selain berbuka puasa bersama peminat dan anak yatim, Wings akan mengadakan persembahan istimewa.

Sebenarnya, peminat Wings juga menunggu aktiviti sebegini setiap tahun. Cuma bezanya tahun ini kami akan mendendangkan lagu dari era 1970-an sehingga 1990-an sesuai dengan temanya Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings.

Buat mereka yang berminat, tempahan boleh dibuat pada harga RM180 untuk dewasa dan RM80 buat kanak-kanak berusia 5 sehingga 12 tahun.

AWIE memilih untuk tidak menerima satu jawatan yang ditawarkan sebuah parti politik tidak lama dahulu ata nasihat bapanya demi menjaga perasaan semua peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post