Siti Nordiana, Alif Satar penuhi hasrat peminat


Tidak dinafikan, gandingan Alif Satar dan Siti Nordiana buat pertama kali menerusi drama Dia Semanis Honey pada tahun 2016 mencipta fenomena tersendiri sehingga naskhah tersebut terpaksa dilanjutkan tayangan sebanyak lima episod dengan judul Dia Semanis Honeymoon.

Tidak terhenti di situ, kehangatan keserasian dan keletah watak Ahnaf Wafi lakonan Alif dan Hani Safira (Siti Nordiana atau Nana) berlanjutan dengan penyiaran Dia Semanis Honey Raya.

Pencapaian paling besar yang diraih drama tersebut tentu menerusi pementasan teater muzikal Dia Semanis Honey The Muzikal yang berlangsung di Istana Budaya.

Meskipun dua tahun telah berlalu, impak yang dicipta Nana dan Alif belum bernoktah. Permintaan peminat untuk melihat gandingan mereka dalam sebuah projek masih belum menemui penghujung.

Lantas, kesungguhan syarikat Adi Media Pte Ltd dari Singapura yang menganjurkan sebuah konsert menyaksikan penyatuan Alif dan Nana di atas pentas yang sama pasti menjadi berita gembira buat peminat.

Penganjuran konsert Just Us - Alif Satar & Siti Nordiana Live Concert In Singapore tersebut bakal menemui penonton pada 31 Ogos depan bertempat di Shine Auditorium, Shaw Tower, Singapura.

“Saya bersyukur dan teruja dengan peluang besar sebegini kerana menerusinya ia berjaya memenuhi hasrat peminat yang ingin melihat kami mengadakan persembahan.

“Apa yang saya boleh katakan, konsert ini akan memberi seribu satu kelainan kerana peminat akan melihat pertembungan dua genre yang berbeza daripada kami,” kata Alif ceria usai sidang media pengumuman konsert berkenaan di Timbre@The Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain konsert, pasangan itu turut menghadiahkan lagu duet sulung mereka berjudul Sebenarnya. Lagu tersebut turut menjadi runut bunyi drama terbaharu, Pengantin Musim Salju yang akan ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) tidak lama lagi.





Perbezaan

Bercerita tentang genre lagu, Nana, 33, bagaimanapun mengakui bukan mudah untuknya menyesuaikan diri dengan genre balada yang disuntik elemen moden kerana ia bukanlah jalur muzik yang begitu akrab dengan dirinya.

“Lagu ini bukan mudah untuk dibawa kerana genrenya moden dan sedikit berbeza dengan lagu-lagu terdahulu saya. Pendek kata, ia adalah genre Ali,” katanya.

Ditebak tentang kebimbangan yang bersarang sekiranya lagu ciptaan Faizal Tahir, Omar K dan Ezra Kong tersebut tidak mendapat sambutan memandangkan dia baru mengeluarkan lagu solo berjudul Hatiku Milikmu baru-baru ini, Nana optimis. Dia pasti lagu duet berkenaan akan mencuri hati peminat.

“Saya yakin tidak akan ada masalah sekiranya kedua-dua lagu ini keluar dalam tempoh yang hampir sana kerana kedua-duanya ada kekuatan tersendiri,” ujarnya.

Pelantun lagu Nisan Cinta itu turut menyentuh tentang single terbaharunya yang semakin mendapat sambutan dan sudah mencatat jumlah tontonan melebihi satu juta sejak dilancarkan pada 2 April lalu.

Nana turut menyifatkan kerjasama dengan dua orang pelakon iaitu Alvin Chong dan Fikry Ibrahim dalam klip video lagu tersebut sebagai nilai tambah untuk lebih diterima peminat.

“Namun, ia bukan bermakna saya menggunakan populariti mereka untuk melariskan lagu saya. Cuma pemilihan mereka dibuat kerana sebelum ini kami pernah terlibat dalam beberapa projek, jadi tidak sukar bekerjasama,” tutupnya mesra.

Post a Comment

Previous Post Next Post