
Sama-sama mendukung aspirasi mengutamakan kerjaya sebelum memikirkan soal cinta, dua figura jelita, Farah Nabilah dan Puteri Aishah boleh dilabel antara generasi aktres yang mempunyai pakej seimbang untuk terus menyinari landskap seni lakonan tanah air.
Sengaja menggabungkan Farah dan Puteri bukan semata-mata ingin menjentik cerita peribadi, namun atas tiket ingin menyelami perasaan bintang yang semakin bersinar itu.
Biarpun kedua-duanya acap kali memberikan jawapan ‘selamat’ berhubung cinta atau jodoh, mereka tetap mengakui apabila sudah sampai waktunya kelak, cinta dan jodoh pasti bertamu, tinggal lagi cepat atau lambat untuk menghiasi taman jiwa.
Farah belum sedia
Bagi si cantik yang pernah digosipkan bercinta dengan hero sasa Zul Arifin selepas digandingkan dalam drama Titian Cinta, jodoh bukanlah sesuatu yang perlu dikejar buat masa sekarang.
Farah atau pemilik nama sebenarnya, Farah Nabilah Saipuddin, 26, sempat meluahkan kurang senangnya apabila kerap dikaitkan dengan Zul kerana tidak mahu dikatakan menumpang populariti.
“Saya tidak berapa gemar apabila orang mengaitkan saya dengan Zul kerana tidak mahu dikatakan sebagai menumpang popularitinya. Kami hanya kawan dan kalau boleh saya mahu dikenali kerana bakat bukan cerita berkaitan kontroversi.
“Dia kacak dan mempunyai personaliti yang baik. Ketika berlakon dalam drama Titian Cinta, memang tidak fikir langsung soal dia kacak atau sebagainya kerana terlalu gementar.
“Apatah lagi, drama berkenaan drama sulung saya yang paling besar,” kata Farah yang merupakan anak jati kelahiran Selangor.
Mengulas lanjut, apa yang menjadi misi utama dalam hidupnya buat masa sekarang adalah fokus kepada kerjaya, selain terus menjaga nama baik keluarga.
Menjadi hasrat Farah juga agar tiada gosip tidak manis kedengaran yang barangkali boleh merisaukan ibu bapa, sepanjang dirinya mencari rezeki dalam bidang seni.
“Ketika gosip bercinta dengan Zul bertebaran, ibu bapa saya tidak cakap apa-apa kerana mereka percayakan saya. Saya pun bukan jenis suka keluar rumah bersosial. Kalau tiada kerja, saya hanya akan duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga.
“Saya dididik oleh ibu bapa dengan baik sejak kecil. Jadi, saya pegang erat kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa. Sebelum memulakan langkah dalam bidang lakonan pun, saya sudah membuat pelaburan dengan membeli satu unit rumah hasil galakan bapa saya,” ujar Farah.
Diusik pertanyaan klise sama ada dirinya ‘ditaja’ oleh individu daripada golongan ternama sehingga mampu membeli aset pada usia yang muda, Farah tenang menjawab soalan berkenaan.
“Ya, saya ditaja oleh bapa saya (ketawa). Sejujurnya, tiada individu daripada golongan ternama yang ingin mendekati saya setakat ini. Seperti yang saya kata tadi, saya jenis yang suka duduk rumah dan jarang bersosial.
“Bapa banyak membantu dan saya sedar tanggungjawab sebagai anak sulung. Namun, tidak semua bil saya ditaja oleh bapa. Duit ansuran bulanan kereta, rumah dan yuran ketika belajar di universiti, saya bayar sendiri,” jelasnya.
Berbicara mengenai perihal Ramadan tahun ini, selain bertindak sebagai salah seorang duta kempen Terima Kasih Media Prima, drama lakonannya, Halalkan Hati Yang Ku Curi kini ditayangkan di TV3 menerusi slot Akasia.
“Dalam drama berkenaan, saya bergandingan dengan Aliff Aziz. Watak yang saya bawa agak berat. Sebagai Delisha, saya perlu merealisasikan karakter seorang wanita terlalu bangga hidup dalam kemewahan.
“Sebagai duta kempen Terima Kasih anjuran Media Prima pula, saya kena banyak terlibat dengan aktiviti amal seperti turun ke bazar Ramadan atau berbuka bersama anak-anak yatim,” terangnya.
Hanya kawan biasa - Puteri
Berbeza dengan Puteri Aishah, sensasi perhubungan dengan seorang ahli perniagaan terkemuka, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin sudah cukup untuk memanaskan namanya. Namun, pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Raisha itu menegaskan, keintiman mereka masih belum sampai ke tahap bercinta.
Katanya, dia pernah beberapa kali keluar menonton wayang dengan Pengerusi Eksekutif, Naza World Group of Companies itu, namun tidak bermakna mereka sedang menjalin hubungan istimewa.
“Saya bukan teman wanitanya. Kami kawan rapat sahaja. Tengok wayang bersama, itu tidak bermakna kami sedang bercinta. Saya keluar dengan ramai kawan lelaki dan mengapa pula dengan dia sahaja gosip bercinta itu timbul.
“Buat masa sekarang saya masih solo dan mana-mana lelaki bebas untuk berkawan dengan saya. Saya juga tidak menghalang dirinya (Faisal) berkawan dengan mana-mana wanita yang disukai,” terangnya.
Dijentik persoalan andai jodohnya melekat dengan ahli korporat tersebut, Puteri tidak menolak andai jodohnya bersama dengan Faisal.
“Siapa saya ingin menolak ketentuan Tuhan. Kata orang, kalau jodoh memang tidak ke mana. Masalahnya, buat masa sekarang, saya dan Faisal hanya kawan biasa.
“Satu perkara yang anda semua tidak tahu tentangnya, dia jenis yang suka mengusik. Selama ini saya yang banyak menafikan hubungan istimewa kami. Apa kata, kalau bertemu dengannya, ajukan soalan seperti ini kepadanya,” kata Puteri, 23, sambil menyimpul senyum.
Bercerita tentang perkembangan seni pada bulan Ramadan, Puteri bersama pelakon Remy Ishak kini giat mempromosikan filem lakonan mereka berjudul Pulang arahan Khabir Bhatia sepanjang kempen Terima Kasih.
Selain itu, Puteri sibuk dengan penggambaran drama terbaharu yang akan dipancarkan menerusi saluran ntv7, berjudul Terima Aku Seadanya.
“Saya akan melakonkan watak seorang perempuan badan bersaiz besar dalam Terima Aku Seadanya. Mencabar juga walaupun bulan Ramadan, penggambaran tetap berjalan hingga sehari sebelum raya.
“Dengan cuaca panas dan sedang berpuasa, kerja tetap kerja. Ditambah dengan kesan solekan untuk menjadi gemuk, inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan untuk menjadi anak seni,” tutur Puteri.
Mengulas tentang filem Pulang yang akan ditayangkan sekitar Julai depan, Puteri akan terlibat untuk mempromosikan filem tersebut melalui aktiviti bazar Ramadan, berbuka puasa dan sebagainya.
Dua pelakon muda yang sedang meningkat naik, Farah Nabilah dan Puteri Aishah bercerita tentang aspirasi seni melalui naskhah di kaca televisyen mahupun layar perak, rutin Ramadan dan perihal jodoh.