Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak, kita pastinya mencuba pelbagai cara untuk mengajar mereka berpuasa.
Begitu juga dengan aktor berbadan sasa, Datuk Aaron Aziz.
Menurut pelakon yang terkenal menerusi filem Ombak Rindu ini, dia tidak pernah mengamalkan cara memberi ganjaran kepada anak-anaknya sebagai balasan mereka berpuasa pada bulan Ramadan.
"Dari awal lagi saya ingatkan bahawa berpuasa ini adalah antara mereka dan ALLAH SWT.
"Malah saya sering ingatkan kalau mereka tidak menunaikan apa yang ALLAH SWT suruh, bagaimana ALLAH SWT hendak dengar permintaan kita?" katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran wajah kempen Jakel Barulah Raya pada Sabtu.
Selain Aaron beberapa lagi selebriti tampil sebagai wajah kempen itu seperti Ayda Jebat, Hairul Azreen, Hanis Zalikha, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari dan Nabil Ahmad.
Bahkan ujar bintang berusia 42 tahun ini, dia dan isterinya, Datin Diyana Halik, sama-sama tegas dalam mendidik anak-anak untuk berpuasa.
"Saya ajar mereka berpuasa seawal usia tujuh tahun. Dua anak saya mula berpuasa ketika mereka berusia lapan tahun manakala yang bongsu tujuh tahun.
"Sebagai bapa saya memang tegas tentang berpuasa dan tidak mahu mereka ambil sambil lewa akan perkara itu.
"Begitu juga dengan isteri yang tidak berkrompomi sekiranya ada anak yang minta kebenaran untuk tidak berpuasa, kecuali jika mereka benar-benar tak larat baru kami benarkan mereka buka," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, dia tidak pernah melihat satu kesalahan buat ibu bapa lain memberi ganjaran dalam menggalakkan anak-anak mereka berpuasa.
"Bagi saya lain orang lain cara dan tiada istilah apa yang betul dan salah dalam memberi motivasi kepada anak-anak," ujarnya.
Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Datin Diyana Halik, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 13, Dwi Ariana, 11, dan Dahlia Arissa, 7.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, sepanjang Ramadan dia akan memperlahankan aktiviti seninya dan memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan.
Kata Aaron, dia juga baru sahaja selesai menjalani sebuah telefilem bersempena raya berjudul Renyai Takbir Raya.