Gadis berusia 19 tahun, Maddie Poppe mencipta sejarah baharu apabila menjadi warga Iowa pertama diumumkan sebagai juara American Idol musim ke-16, malam Isnin.
Poppe sudah dijangka akan bergelar juara kerana memiliki suara yang hebat.
Menyampaikan lagu baharu "Going, Going Gone", kemenangan itu sekali gus memperlihatkan Poppe telah mengalahkan kekasihnya, Caleb Hutchinson dan Gabby Barrett.
Kemenangan itu melayakkan Poppe memenangi kontrak rakaman dan hadiah wang tunai US $250,000.
Apa yang menarik mengenai malam final itu, Hutchinson telah mengumumkan perhubungan mereka 15 minit sebelum rancangan itu berakhir.
Menurut Hutchinson kepada pengacara, Ryan Seacrest, mereka berkenalan sejak awal minggu di Hollywood.
"Dan dia sebenarnya sudah menjadi teman wanita saya," katanya dan pengumuman itu sekali gus mengejutkan juri pada malam berkenaan iaitu Katy Perry, Luke Bryan dan Lionel Richie.
Sebaik membuat pengumuman itu, pasangan ini terus menyampaikan lagu Somewhere Over the Rainbow, nyanyian asal Israel Kamakawiwoʻole sambil berpegangan tangan. Dan disebabkan persembahan romantis itu, Hutchinson dan Poppe memenangi perjalanan percuma ke resort Disney Aulani di Hawaii.
Sementara itu, Poppe yang ditemui selepas majlis berkenaan memberitahu dia masih terkejut dengan kemenangan yang diperolehnya.
"Saya benar-benar terkejut dan tidak tahu bagaimana untuk mengulas kemenangan ini. Saya tidak percaya bahawa juri dan orang di luar sana mempercayai bakat saya. Dan setelah dinobatkan sebagai pemenang, saya rasa ia adalah sesuatu yang luar biasa.
"Apa yang perlu anda tahu, saya hanya menjadi diri saya sendiri dan saya memenangi pertandingan ini kerana saya hanya buat apa yang dimahukan.
"Kemenangan ini tidak akan mengubah diri saya," katanya.
Sepanjang musim, Poppe memenangi hati berjuta - termasuk juri Perry, Bryan dan Richie.