Armin Zaharin dilarang dekati anak dan Ziana Zain


Suami kepada penyanyi popular, Ziana Zain, Armin Zaharin gagal mendapatkan kebenaran untuk berjumpa dengan anaknya.

Ia berikutan Majistret Mahkamah Majistret Shah Alam Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin mengekalkan perintah larangan untuk mendekati mangsa sebagai syarat jaminan Armin yang diputuskan sebelum ini.

Selain anak, Armin juga dilarang mendekati Ziana sehingga kes selesai.

Armin mengemukakan permohonan itu termasuk ingin berjumpa dengan tiga anaknya yang lain menerusi peguamnya Mohd Rizal Bahari secara lisan pada sebutan kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi membantah permohonan itu kerana pertuduhan yang dihadapi Armin adalah kes jenayah melibatkan anaknya sendiri sebagai mangsa.

“Mahkamah ini juga tidak mempunyai bidang kuasa berhubung permohonan tertuduh untuk berjumpa dengan anaknya yang lain,” katanya.

Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.





Pada 15 Mei lalu, Armin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu didakwa dengan sengaja menyebabkan luka dan lebam di bahagian tangan salah seorang anak lelakinya menggunakan rotan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Denai Alam, antara 8 hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Armin,53, ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu bernikah dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Post a Comment

Previous Post Next Post