Usia bukan penghalang buat Nita Hamzah, Fareez


Jarak usia hampir lapan tahun antara penyanyi, Nita Hamzah dan suami, Mohd. Fareez Syamsul Bahari ternyata tidak menjadi penghalang apabila mereka selamat diijabkabulkan tanggal 29 April lalu.

Majlis serba sederhana, namun meriah dengan kehadiran sanak saudara itu berjalan lancar apabila pemilik nama Norhanita Hamzah itu sah bergelar isteri dengan sekali lafaz, diwalikan oleh adiknya Mohd. Hafeez Hazlan Hamzah dan bersaksikan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Al Firdaus Bandar Baru Selayang, Mohd. Nazri Md Noor.

Tenang saat lafaz nikah diucapkan, Nita yang anggun bergaun rona putih rekaan Calvin Thoo menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran RM10,000 berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang kepada pihak pengantin lelaki.

Senyuman manis tidak lekang di bibir wanita berusia 37 tahun itu, sekali gus menggambarkan kegembiraan dan kelegaan apabila impian hari bahagianya terlaksana selepas tertunda pada bulan Februari lepas.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana semuanya dipermudahkan. Meskipun majlis ini sepatutnya berlangsung dua bulan lalu, namun saya dan suami yakin setiap apa yang terjadi pasti ada hikmahnya.

“Dugaan dan cabaran yang diterima sepanjang persiapan kahwin memang tidak pernah surut, malah sehari sebelum akad nikah, kami sempat bertekak, namun Fareez cepat-cepat tenangkan saya,” katanya sambil senyum disambut oleh suami di sisi.

Mengagumi kesungguhan dan kegigihan Fareez untuk mengumpul wang bagi merealisasikan hari pernikahan mereka juga antara faktor dia jatuh cinta dengan lelaki berusia 29 tahun itu.

“Dia seorang yang sabar dan positif serta sering menjadi angin penyejuk apabila saya sedang marah atau tertekan. Insya-Allah saya yakin dia juga bakal menjadi pemimpin rumah tangga yang baik,” tuturnya lagi.





Berubah

Sementara itu, Fareez yang lebih banyak berdiam sambil mengiakan kata-kata si isteri meluahkan rasa beruntung dapat menyunting Nita menjadi suri hidupnya kerana menganggap wanita itu sangat istimewa di dalam hidupnya.

Kehadiran Nita dalam hatinya sejak empat tahun lalu banyak mengubah gaya hidup dan perspektif Fareez dalam mengorak langkah menuju masa hadapan terutama sebagai seorang lelaki yang bakal bergelar suami.

“Nita sering menasihati dan mendisiplinkan diri saya untuk menjadi lebih baik dalam semua aspek termasuk agama, gaya hidup dan kewangan. Hidup saya lebih stabil sejak bercinta dengan dia.

“Dari segi usia mungkin dia lebih tua, namun sebagai suami, ia menjadi tanggungjawab saya untuk membimbingnya selepas ini. Doakan jodoh kami kekal sehingga ke akhir hayat,” katanya tenang.

Dalam pada itu, Fareez yang bekerja sebagai budak penghantar barang (despatch) turut memberikan lampu hijau buat isterinya untuk aktif dalam bidang seni seperti biasa dan sentiasa menyokong impian Nita untuk membina kerjaya sebagai penyanyi.

“Saya tahu dia seorang yang berbakat besar dan boleh pergi jauh dalam industri seni. Saya mengenali Nita selepas dia bergelar artis, jadi tiada sebab untuk dia berhenti menyanyi selepas berkahwin,” tegasnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post