Nelydia Senrose lebih waspada kongsi soal hati


Beberapa minggu lalu, pengguna alam maya heboh seketika apabila pelakon cantik, Nelydia Senrose memuat naik sekeping gambar jari manisnya menyarung sebentuk cincin bertatah berlian dalam laman Twitter.

Tindakan pelakon berusia 23 tahun itu sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan peminat sehingga ada yang beranggapan dirinya sudah dirisik sang kekasih hati baharu.

Malah, kapsyen ditulis Nelydia pada gambar itu yang berbunyi “Happiest day of my life. Dreams do come true (Hari paling gembira dalam hidup saya, mimpi memang jadi kenyataan),” itu sekali gus memberi gambaran hidupnya kini dalam fasa bahagia yang menjurus ke arah sebuah ikatan perkahwinan.

Berkesempatan bertemu Nelydia pada majlis peragaan Koleksi Raya StarVilion 2018 di Royale Palace, Shah Alam, Selangor baru-baru ini digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan kesahihan perkara tersebut.

Menafikan dirinya sudah dirisik si pemilik hati, jelas pemilik nama sebenar, Nik Zaris Nelydia Nik Sen itu, cincin berkenaan sekadar pemberian istimewa, namun ia tidak mempunyai apa-apa makna atau tanda untuk hubungan mereka.

“Gambar tersebut sengaja saya kongsikan ketika sedang bercuti di Kaukenhof, Belanda baru-baru ini tetapi ia tidak mempunyai apa-apa maksud seperti sudah dirisik atau menjadi tanda. Namun saya tidak nafikan, ia memang pemberian daripada si dia,” jawabnya ringkas.

Sebelum kisah cincin itu menjadi perhatian, nama Nelydia terlebih dahulu menjadi perbualan gara-gara sekeping gambar mesranya bersama seorang jejaka tinggi lampai tersebar di internet.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Mr. H itu dikatakan berstatus jutawan muda.

Kisah tersebut lantas menarik perhatian ramai sementelah Nelydia sendiri sudah lama bergelar solo selepas hubungan cintanya bersama bekas kekasih, Qi Razali putus di tengah jalan sekitar tahun 2015.





Hati-hati

Jelas pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu lagi, jika ada berita baik yang berlaku kelak membabitkan dirinya dan kekasih, dia mahu perkara berkenaan disahihkan terlebih dahulu daripada kedua-dua ibu bapanya.

“Apa yang berlaku nanti, biarlah ia datang daripada ibu dan ayah saya. Kemudian barulah saya boleh kongsikan kepada umum. Buat masa ini doakanlah yang terbaik untuk diri saya,” katanya meminta pengertian.

Ini bukan kisah cinta pertamanya. Disebabkan itulah Nelydia mengambil langkah berhati-hati untuk tidak terlalu terbuka berkongsi perihal peribadi sementelah dia pernah terluka dek cinta yang tidak kesampaian.

Kata orang, pengalaman lalu mendewasakan diri untuk lebih berwaspada dalam setiap tindak-tanduk agar tidak tersungkur buat kali kedua.

“Saya minta maaf sangat kepada teman-teman media tetapi bukan niat untuk menyorokkan perkara baik. Cuma saya tidak mahu perkara lama berulang kembali andainya terlalu awal berkongsi tentang perkara ini.

“Saya sendiri tidak mahu terlalu seronok bercakap tentang hal yang belum tentu pasti sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” luah Nelydia.

Tunggu dulu

Ditanya tentang kesediaannya untuk melangkah ke fasa berumah tangga pada usia muda, jawapan yang diberikan adik kepada pelakon Uqasha Senrose itu menyerlahkan sisi matangnya dalam merencana masa depan.

Katanya, sememangnya sejak dahulu dia sentiasa serius dalam perhubungan dan meletakkan harapan agar ia berkesudahan dengan sesuatu yang baik.

“Dari dulu saya memang bersedia untuk mengakhiri sesebuah perhubungan ke arah yang baik-baik iaitu senang cerita sebuah ikatan perkahwinan. Namun, semuanya milik Tuhan untuk menentukan siapa jodoh saya, di mana dan bila ia akan berlaku,” katanya.

Tegas pelakon itu lagi, buat masa ini dia berasa kurang selesa untuk berbicara lanjut mengenai masa depan cintanya.

Alasan Nelydia, ini kerana hubungan yang terbina masih baharu dan tidak melangkaui usia setahun.

Selain soal hati, satu hal lain yang turut dijelaskan oleh Nelydia pada pertemuan itu adalah tentang status kekasihnya yang didakwa sebagai jutawan.

Sambil berseloroh, dia yang pernah popular menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta bersama Sharnaaz Ahmad menjawab tidak tahu-menahu langsung tentang perkara itu.

“Saya hairan dari mana datangnya perkara ini sebab tidak pernah pula tengok akaun banknya ada berapa banyak wang (ketawa). Dia cuma seorang ahli perniagaan berasal dari Pantai Timur. Bab jutawan itu, saya tiada jawapan dan tidak mengiyakan atau menafikannya,” jelasnya menutup bicara soal peribadi.

Berkongsi sedikit perkembangan terkininya dalam lakonan, Nelydia bakal muncul dengan sebuah drama adaptasi naskhah popular dari Filipina, Sanay Wala Nang Wakas di samping pelakon Aedy Ashraf sebagai teraju utama.

“Penggambaran sudah pun berjalan sejak dua bulan lalu dan akan disiarkan sebanyak 100 episod untuk slot Tiara di Astro Prima. Insya-Allah ia akan ditayangkan pada bulan Julai nanti,” katanya.

Selain itu, Nelydia buat pertama kalinya memperkenalkan koleksi raya rekaannya dengan jenama Impian By Nelydia Senrose yang berasaskan fabrik songket.

“Kalau dahulu masyarakat agak sukar mengenakan pakaian songket kerana agak mahal, jadi disebabkan itu saya ambil peluang ini mengeluarkannya memandangkan saya memang seorang pencinta songket.

“Pada masa sama, ia masih mengekalkan konsep tradisi dan sopan tetapi dalam versi ringkas dan manis. Ia boleh didapati di butik StarVilion yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor dengan harga berpatutan,” tutupnya ceria.

Hampir tiga tahun solo, akhirnya hati pelakon Nelydia Senrose kembali dimiliki oleh seorang jejaka bertuah bernama Hafiz. Namun hubungan yang baru terbina itu mahu disimpan rapi kerana dia tidak mahu terlalu gopoh berkongsi perkara yang belum pasti.

Post a Comment

Previous Post Next Post