Umie Aida beli ular


Pelakon berbakat besar, Datin Seri Umie Aida mendedahkan, dia ‘berkawan’ dengan seekor ular selama dua bulan sebagai inspirasi menghidupkan watak Diana Dahlan dalam filem Dukun.

Ujar bintang berusia 45 tahun ini, sepanjang tempoh itu, dia banyak menghabiskan masa dengan ular berkenaan termasuk berbual, makan dan tidur bersama.

"Pada awalnya saya memang geli dengan ular tapi demi mencari sesuatu yang berbeza dalam menjayakan watak Diana Dahlan, saya buang rasa takut dan geli itu.

"Sepanjang tempoh itu, saya banyak bercakap dengan ular, bahkan sebelum tidur pun saya akan bercakap dengan ular berkenaan.

"Dan hasilnya, apa yang anda lihat pada Diana Dahlan adalah inspirasi daripada seekor ular," katanya yang membeli ular berkenaan semata-mata untuk filem Dukun.

Selain Umie Aida, filem arahan Dain Said ini menampilkan pelakon hebat lain seperti Faizal Hussein, Nam Ron, Hasnul Rahmat, Adlin Aman Ramlie, Sofi Jikan, Bront Palarae, Chew Kin Wah, Allahyarham Ramli Hassan dan ramai lagi.






Filem Dukun sudah mula ditayangkan di pawagam sejak 5 April, selepas 12 tahun penghasilannya. Filem tersebut mengundang kontroversi kerana dikatakan mengambil dari kisah benar Mona Fandey.

Berkongsi babak paling sukar sepanjang menghidupkan watak sebagai pengamal ilmu hitam, Umie berkata dia sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana dia sanggup melakukan beberapa adegan termasuklah babak dirasuk dan menjilat dinding penjara.

“Apabila masuk saja set, saya terus memberi fokus dan menjadi watak yang saya lakonkan. Memang yang saya jilat itu dinding Penjara Pudu.

"Bayangkan dinding itu sudah berpuluh tahun lamanya. Saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh sanggup lakonkan babak itu (gelak).

“Selain itu babak membaca mantera dan dirasuk juga sangat mencabar. Mantera yang saya bacakan itu adalah mantera sebenar dalam bahasa batak tetapi bagi mengelakkan perkara tak diingini berlaku, saya skip beberapa ayat atau tidak membaca ayat tersebut sehingga habis,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post