Nama pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha tidak ubah seperti pisang goreng panas setelah kemunculannya menerusi drama rantaian Mencintaimu Mr. Photographer pada tahun lalu.
Nyata wajah cantik wanita berdarah kacukan Inggeris-Melayu itu berjaya menambat hati khalayak selain lakonannya yang bersahaja.
Tahun ini, ada dua projek mega yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.
Pertama kali disunting membintangi sebuah filem, ternyata ia bukan naskhah klise. Sebaliknya kemampuan pemilik nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch itu diuji dengan sebuah karakter hantu. Menjadi teraju utama dalam filem Langsuir, watak itu yang diberi nama Suri ternyata memberi keterujaan buat Hannah untuk melihat reaksi penonton apabila ia ditayangkan pada 21 Jun depan.
Pada masa sama, Hannah juga terlibat dengan sebuah drama adaptasi yang cukup fenomena dari Korea Selatan, Full House.
Pengikut setia karya dari negara republik terbabit pasti tidak sabar menantikan hasil lakonan Hannah membawakan watak yang pernah digalas oleh Song Hye-kyo.
Sedar dengan obsesi peminat tempatan terhadap karya dari Korea Selatan, wanita berusia 22 tahun itu mengakui tidak berasa tertekan sekiranya dibandingkan dengan aktres berkenaan.
Baginya, perkara tersebut bukan satu yang dapat membebankan kerana setiap pelakon mempunyai cara tersendiri dalam menterjemahkan watak.
“Tidak dinafikan khalayak akan membuat perbandingan antara naskhah tersebut dengan yang asal. Namun, pada saya, ia bukan satu masalah besar kerana setiap individu mempunyai pandangan tersendiri.
“Pada zaman media sosial, sukar untuk dibendung tindakan khalayak yang gemar melontarkan pandangan mengikut perasaan tanpa memikirkan penerimaan pihak diperkatakan terbabit.
“Mudah pada saya, kritikan membina akan dijadikan ‘guru’ untuk memperbaiki kesilapan tetapi jika pandangan negatif yang dilihat seperti ingin menjatuhkan, tidak akan diendahkan,” terangnya tersenyum.
Sebagai pelakon yang baru setahun jagung berkecimpung dalam kerjaya lakonan, tidak dinafikan teguran amat diperlukan bagi memastikan kualiti dan kepuasan peminat.
Bakal memulakan penggambaran pada hujung April ini, drama adaptasi terbitan Global Station Sdn. Bhd. tersebut memperlihatkan Hannah bakal bergandingan dengan pelakon Aiman Hakim Redza.
Sasaran
Memperkemaskan diri menyusun langkah seni, Hannah memberitahu, dia mempunyai sasaran dalam memperjudikan nasib di Malaysia, apatah lagi berkelana jauh daripada keluarga.
Yakin dengan kesungguhan dan kesabaran, pelakon bermata galak itu berusaha mencetuskan kepelbagaian karakter dalam setiap watak yang dibawa.
Muncul pertama kali dalam drama atas talian, 3 Gadis Manis musim kedua yang disiarkan di www.3gadismanis.com.my, dan aplikasi Gempak, Hannah tampil sebagai wanita bekerjaya dan matang.
Dia menghidupkan watak Jo yang bekerja sebagai seorang jurutera. Jo berhadapan dengan isu feminisme apabila menceburi kerjaya yang didominasi kaum lelaki.
Berbeza dengan personalitinya yang manja dan lemah lembut berbeza berbanding Jo, wanita yang digambarkan berusia 27 tahun itu lebih bersifat tegas dan gemar memberi sindiran sinis.
“Watak yang dibawakan dalam 3 Gadis Manis nyata berbeza dengan diri saya. Disebabkan itu, saya menerima tawaran naskhah tersebut selain ingin menimba pengalaman pertama kali terlibat dengan drama atas talian.
“Saya enggan membawa watak sama kerana bukan bimbang penonton mudah berasa jemu tetapi secara tidak langsung dapat mencuba pelbagai karakter dan tampil sebagai pelakon versatil,” ujar Hannah.
Selain Hannah, drama atas talian arahan Junad M. Nor dan Nadirah Zakariya terbitan Wayang Works Sdn. Bhd. itu turut dibintangi oleh Dee Alhadi dan Yaya Zahir.
Permit
Asyik bercerita tentang kerjaya, Hannah ditebak dengan pertanyaan tentang kelangsungan kerjaya di Malaysia mengikut undang-undang tempatan memandangkan dia seorang warga Singapura.
Bukan artis pertama dari negara terbabit yang mencuba nasib di Malaysia, Hannah memberitahu, dia tidak berhadapan dengan isu dokumentasi melibatkan permit kerja di Malaysia.
Akui Hannah, segala urusan melibatkan permit kerja diuruskan oleh pihak pengurus mengikut kontrak selama setahun sebagai duta telefon pintar, Huawei.
“Sejak awal pembabitan saya tidak pernah berhadapan dengan masalah permit kerja di Malaysia kerana segalanya diuruskan oleh syarikat pengurusan,” kata Hannah lembut.
Langkah tersebut secara tidak langsung melancarkan aktiviti seni di Malaysia selain dia sendiri tidak terlalu kerap pulang ke negara kelahiran kerana terlalu sibuk.
Mampu berdikari
Dalam nada yang kedengaran sedikit sedih dan tersenyum tawar, Hannah memberitahu, kepadatan jadual kerja menyebabkan dirinya tidak berpeluang untuk kerap pulang ke pangkuan keluarga.
Biarpun begitu, dia memastikan tidak terputus hubungan dengan keluarga dengan menghubungi ibunya.
“Bohong sekiranya mengatakan saya tidak merindui mahupun memiliki sindrom rindu, tetapi disebabkan tanggungjawab, perasaan tersebut terpaksa diketepikan.
“Tambahan, sebagai anak tunggal dalam keluarga, saya sudah terbiasa melakukan banyak perkara tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak lain,” tuturnya lembut sambil tersenyum.
Mula menangkap perhatian khalayak selepas muncul dalam drama Mencintaimu Mr. Photographer, Hannah Delisha kini bersedia membius peminat dengan drama rantaian terkenal Korea Selatan, Full House dan filem seram pertama lakonannya, Langsuir.