Pelakon Syazwan Zulkifli meluahkan rasa kesalnya apabila sering dilabelkan sebagai seorang yang baran dan lantang bersuara sehingga sering dipandang serong sesetengah pihak.
Hakikatnya pelakon yang dikenali menerusi drama Juvana ini hanya bersuara ketika perlu terutamanya apabila melibatkan mereka yang tidak profesional dalam kerja.
“Saya sendiri pun tak faham kenapa orang labelkan saya sebagai seorang baran sedangkan tidak pernah ada pun kejadian yang memperlihatkan saya dengan perlakuan seperti itu.
“Sejak berlakon Juvana lagi orang dah kaitkan saya dengan isu baran ni, masa tu saya OK saja sebab saya fikir mungkin sebab pengaruh watak antagonis yang saya bawa.
“Tapi bila sampai satu masa, orang masih labelkan saya begitu sehingga membuatkan ramai yang takut nak dekat atau kerja dengan saya, jadi tak bestlah,” luahnya ketika ditemui di sesi Meet & Greet dan bengkel DFKL petang tadi.
Tambah Syazwan lagi, disebabkan anggapan sebegitu juga membuatkan orang mudah memberikan tanggapan buruk terhadapnya, meski kesalahan itu bukan datang daripada pihaknya.
“Saya sering berdepan dengan situasi yang masalahnya datang daripada sikap tidak profesional pihak lain, tetapi akhirnya saya menjadi mangsa keadaan.
“Bila saya mula bersuara, orang akan kaitkan dengan baran dan akhirnya buruknya nampak kat saya.
“Padahal saya selalunya akan berdiam diri dan bertolak ansur dalam banyak benda, sehinggalah keadaan betul-betul memerlukan saya bersuara, “ akuinya yang kini berada di bawah pengurusan Mind Order.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, Syazwan bakal tampil dengan drama Kalis Kasih yang menyaksikan gandingannya bersama Elvina Mohamad, Mawar Rashid dan Amar Baharin.
“Selepas berada di bawah pengurusan Mind Order, jadual kerja saya lebih mudah kerana segalanya diatur dengan baik.
“Saya jenis yang tak pandai sangat nak bincang-bincang pasal tawaran atau susun jadual kerja, jadi bila dengan diorang saya tak perlu lagi fikir pasal tu dan boleh fokus kerja saja,” kata Syazwan yang bakal muncul dengan filem terbaharunya tidak lama lagi.