Pelakon cantik Cristina Suzanne, 33, menarik perhatian ramai pada malam Sabtu apabila telah memuat naik sekeping gambar yang menyaksikan kelibat seorang lelaki sedang mengucup dahi seorang wanita dalam persalinan pengantin.
Cristina atau lebih mesra disapa sebagai Cris hanya menulis 310318 iaitu tarikh semalam (Sabtu) sebagai kapsyen kepada gambar yang dikongsikan di laman Instagram peribadinya itu.
Gambar tersebut mengundang tanda tanya banyak pihak, apakah heroin filem Kil ini telah melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang ditulis pada gambar tersebut?
Meskipun paparannya tidak begitu jelas, namun dipercayai ia merupakan kelibat Cris dan pasangannya.
Apatah lagi posting tersebut dihujani dengan ucapan tahniah daripada para pengikutnya di Instagram termasuk rakan dan kenalannya.
Lebih menguatkan tanggapan tersebut, apabila Cris dilihat memberikan respons dengan mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah yang diterimanya.
Sekiranya benar Cris kini telah bergelar isteri, selamat pengantin baru kami ucapkan, dan jika sebaliknya diriingi doa agar dipermudahkan jodohnya dengan lelaki pilihan.
Cris sebelum ini pernah melalui pengalaman putus tunang beberapa tahun lalu dan cukup dikenali sebagai seorang pelakon yang cukup berahsia tentang kehidupan peribadinya.
Dalam perkembangan lain, pelakon tinggi lampai ini bakal muncul dengan drama terbaru lakonannya, Nafas yang akan disiarkan di ntv7 tidak lama lagi.