Seniman terus giat bantu golongan artis


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menyelar tindakan segelintir artis yang sewenang-wenangnya menyalahkan persatuan hanya apabila sudah ditimpa musibah.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana artis, Zed berkata, beliau kecewa apabila terdapat pihak yang dengan mudah mengatakan Seniman tidak menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang membela nasib golongan artis.

“Perlu diingatkan bahawa Seniman merupakan sebuah persatuan kebajikan. Bukan semua masalah artis kita boleh selesaikan dan janganlah apabila sudah ditimpa musibah baru ingat persatuan.

“Saya kecewa juga sebenarnya apabila ada segelintir artis memang tidak pernah tunjuk muka pada acara yang diadakan oleh persatuan tapi dalam sosial media bukan main lancang kritik itu dan ini,” getusnya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran Kenderaan Khas Seniman di ibu negara baru-baru ini.

Kata Zed lagi, beliau turut terkilan apabila kebanyakan acara yang melibatkan Seniman susah untuk mendapat sokongan daripada artis muda.

“Seniman tidak boleh menyelesaikan masalah semua golongan artis. Kalau betul-betul ingin kami bantu, dekatkanlah diri dengan kami dan minta pada saluran yang betul.

“Jangan apabila sudah kami tolong, kata pula kami tidak pernah menghulurkan bantuan langsung,” katanya lagi.

Sementara itu, mengenai kenderaan rasmi persatuan itu, Zed berkata, van dengan kapasiti 15 penumpang berkenaan akan digunakan bagi menjayakan pelbagai aktiviti Seniman selain disewakan kepada umum bagi tujuan mengumpul dana.

“Alhamdulillah, kenderaan khas ini akan digunakan untuk membantu ahli persatuan dalam pelbagai hal seperti membawa ahli-ahli yang sudah uzur untuk ke hospital dan ke acara-acara berkaitan.

“Kenderaan khas ini juga akan dibuka untuk disewa kepada mana-mana badan atau persatuan lain yang mempunyai hasrat untuk digunakan bagi tujuan tertentu yang baik,” ujarnya.

Zed mendedahkan, harga van khas tersebut bernilai RM120,000 serta mendapat tajaan antaranya daripada The Chef.

Majlis perasmian van khas Seniman itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Turut hadir Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Fauzi Ayob.





Terima aduan remeh

Dalam pada itu, Zed turut mendedahkan, pihaknya menerima sekitar 200 laporan dan aduan dalam tempoh setahun daripada selebriti tempatan yang mengadu pelbagai masalah.

Katanya, semua laporan tersebut kadangkala terlalu remeh dan di luar kemampuan persatuan itu untuk membantu.

“Kami menerima dalam 150 hingga 200 laporan setahun daripada ahli dan semuanya cuba diselesaikan.

“Cuma ada beberapa laporan yang kadang-kadang tidak boleh dibantu seperti kenapa pihak radio tidak memutarkan lagu mereka, pergi temu ramah dalam program Melodi tapi tidak disiarkan, malah aduan mengenai nama tidak diberi kredit untuk drama pun ada kami terima.

“Bagaimanapun, apabila kami semak tentang aduan berkenaan mereka ini sebenarnya pelakon tambahan sahaja,” ujarnya.

Zed turut berkata, pihaknya juga menerima laporan berunsur jenayah seperti kes bunuh dan pelacuran membabitkan artis.

“Baru-baru ini ada individu membuat laporan terpedaya dengan agensi memberi tawaran berlakon tetapi dia diberi syarat tidak sepatutnya iaitu perlu bergambar bogel dan pakej berunsurkan jenayah pelacuran,” jelasnya yang mengatakan perkara itu akan terus disalurkan kepada pihak polis bagi mendapatkan bantuan.

Post a Comment

Previous Post Next Post