Menyusun rentak dengan membintangi filem bercorak aksi merupakan antara strategi pelakon Hairul Azreen untuk mempersiapkan diri bagi menembusi pasaran antarabangsa.
Berbekalkan kemahiran dalam seni mempertahankan diri membuatkan bapa kepada seorang cahaya mata itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan babak aksi sendiri.
Muncul dengan buah tangan baharu bertajuk Qhaliq, pemilik nama Hairul Azreen Idris mengharapkan filem bertemakan anggota pasukan bomba tersebut menerima reaksi positif dalam kalangan peminat.
Membawakan watak sebagai Qhaliq, pengalaman dua minggu menjayakan penggambaran filem tersebut turut mencetuskan kesedaran pada dirinya tentang sumbangan dan pengorbanan anggota bomba terhadap masyarakat.
Filem arahan Rosli Mohd. Taib terbitan Ohsem Network Sdn. Bhd. itu turut dibintangi oleh Aliff Yasraff, Nur Risteena Munim, Ahmad Idham, Syainie Aida, Azza Elite, Eqy Afandi, Qistina Raisah, Hafiz Bahari dan Noralbaniah.
KOSMO!: Bolehkah Hairul Azreen kongsikan pengalaman sewaktu menjayakan filem Qhaliq?
HAIRUL AZREEN: Saya menjalani penggambaran filem selama dua minggu sekitar bulan Ogos tahun lalu. Penglibatan dalam filem ini banyak memberi kesedaran kepada saya tentang usaha keras dan jasa anggota bomba kepada masyarakat. Secara sedar atau tidak, bomba merupakan antara penyelamat yang paling dekat dengan masyarakat.
Secara peribadi, saya juga berasa kagum dengan kemampuan mereka mengendalikan peralatan keselamatan yang kebanyakannya agak berat.
Adakah anda mengalami sebarang kecederaan sepanjang melakonkan babak aksi mahupun berbahaya dalam filem tersebut?
Disebabkan saya sebelum ini telah biasa melakukan babak aksi lagak ngeri sendiri, jadi begitu juga dengan filem Qhaliq. Syukur, sepanjang penggambaran saya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahan, segala apa yang dilakukan berada di bawah pemantauan anggota bomba termasuk melibatkan babak mangsa kebakaran dan kemalangan jalan raya. Hanya terdapat satu babak yang memperuntukkan saya menyelamat mangsa kebakaran dan bagi memberi impak yang lebih realistik, api sebenar digunakan.
Saya dapat merasakan bahang api, ditambah pula dengan memakai jaket keselamatan kalis api dan membawa tangki udara yang berat.
Anda kerap terlibat dengan filem bercirikan anggota beruniform seperti bomba selain polis termasuk sedang menjalani penggambaran sebagai anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Tidakkah berasa bimbang sekiranya khalayak melabelkan anda hanya mampu berlakon dalam filem sebegitu?
Jika diimbau semula, kisah mengangkat perjuangan badan beruniform pertama yang saya lakonkan ialah Rela iaitu dalam filem Senario The Movie Ops Pocot pada tahun 2011.
Memandangkan ini merupakan pertama kali melakonkan watak sebagai anggota bomba, jadi saya menerimanya kerana ingin menimba pengalaman baharu.
Mungkin selepas ini, sekiranya ditawarkan untuk terlibat dalam beruniform pada masa akan datang, saya akan mempertimbangkannya. Bagaimanapun, ia bergantung pada skrip, sekiranya jalan cerita yang menarik, saya mungkin akan terima.
Mengapakah anda sering memberi penekanan terhadap pembikinan filem aksi?
Secara peribadi saya sememangnya memberi tumpuan kepada pembikinan filem bercorak aksi kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan masa depan.
Bukan sahaja mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri tetapi saya turut meletakkan sasaran untuk menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus mengembangkan bakat dan mencipta nama di Hollywood.
Selain itu, saya juga ingin buktikan meskipun memiliki rupa paras yang dikatakan ‘jambu’ tetapi masih mampu terlibat dalam filem bercorak aksi
Disebabkan kekangan tersebut, saya terpaksa menurunkan berat badan terutama pada bahagian muka, gelapkan kulit selain mempunyai misai.
Imej sebegitu diperlukan kerana jika tidak, pengarah mahupun penerbit sukar untuk memberi kepercayaan untuk melakonkan babak aksi. Pada masa sama, saya turut berhasrat untuk menempa nama di persada seni Hollywood seperti bintang ternama Jackie Chan.
Tidak dinafikan, itu merupakan sasaran dan harapan saya sekarang. Justeru, sebagai persediaan saya mempersiapkan diri dengan membintangi filem berbentuk aksi.
Sejak kebelakangan ini, kemunculan anda di kaca televisyen dilihat agak berkurangan, mengapa?
Saya memilih untuk menghadkan kemunculan di kaca televisyen kerana ingin memberi fokus kepada pembikinan filem. Seperti dikatakan tadi, saya ingin mengukuhkan portfolio sebelum bersedia ke pasaran antarabangsa.
Memandangkan terlalu minat dengan karya bentuk aksi, adakah perkara sama turut akan diterapkan kepada cahaya mata lelaki anda, Yusof Iskandar?
Saya tidak pernah menghalang minat mahupun kecenderungannya. Sebagai bapa, saya akan sentiasa menyokong dan memberi galakan terhadap minat Yusof.
Saya sendiri tidak pernah berusaha untuk membentuk masa depan Yusof, apatah lagi memaksa dia untuk meminati apa yang saya gemari. Segalanya terpulang pada kehendaknya apabila dewasa kelak.