Sarah akan menangguhkan niat untuk menyambut pelajaran jika single pertamanya berjaya.
Penyanyi baharu Sarah Suhairi sanggup melupakan sebentar niat untuk melanjutkan pelajaran jika single pertamanya, Pedih mendapat sambutan.
Sarah, 18, berkata dia akan berbincang terlebih dahulu dengan ibu-bapanya sebelum membuat keputusan.
"Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi dan menyimpan impian untuk menjadi penyanyi suatu hari nanti.
"Kalau ada rezeki single pertama berjaya, saya akan fokus pada bidang nyanyian dan mungkin sambung belajar itu ditangguhkan dahulu.
"Tapi apa-apa pun saya akan tanya ayah dan ibu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," kata Sarah kepada mStar Online.
Mula dikenali selepas menyanyikan semula lagu-lagu popular menerusi laman sosial.
Sarah mula dikenali di laman sosial selepas memuat naik video menyanyikan semula lagu popular Despacito pada awal 2017.
Semenjak itu, dia kerap membuat rakaman nyanyian semula lagu-lagu popular sehingga mendapat tawaran menjadi artis dibawah pengurusan syarikat MVM Production Sdn Bhd.
Tambah Sarah, dia menyedari pelajaran itu penting untuk masa hadapan namun berharap dapat memulakan kerjaya sebagai penyanyi dalam masa yang sama.
"Saya memang berharap dapat melakukan dua benda dalam masa yang sama iaitu menyanyi dan sambung belajar.
"Tapi semua itu bergantung pada keadaan juga. Tidak dinafikan pelajaran itu sangat penting. Saya tengok mana rezeki sampai terlebih dahulu," ujarnya.
Sarah mahu menjadi penyanyi yang mempunyai pelajaran tinggi.
Sementara itu, dia sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menjejak kaki di dalam industri seni.
Malah, sebelum ini Sarah pernah dikecam netizen apabila memilih genre muzik belada sebagai pemulaan kariernya.
"Rasanya saya dah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk masuk dalam dunia industri seni ini.
"Sebelum ini pun saya pernah dikecam netizen yang mempersoalkan kenapa saya pilih genre muzik belada untuk permulaan.
"Mereka kata penyanyi baharu suka pilih genre itu dan minta saya ubah yang lain. Insya-Allah mungkin selepas ini saya akan cuba yang lain pula," katanya.
Video muzik lagu ciptaan Iman Imran itu sudah dilancarkan pada 2 April lalu menerusi laman Youtube dan kini mendapat lebih 380,000 tontonan.