Penyanyi Salma Mentor akur dengan keputusan mahkamah yang memerintahkan suaminya bekas peserta AF9, Azri dihukum penjara 14 hari.
Selain itu, Azri turut didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan mendera anak tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, dua tahun lalu.
Hakim Norshila Kamaruddin membuat keputusan itu dan memerintah hukuman itu berjalan bermula semalam.
Jelas Salma, dia dan suami menerima keputusan mahkamah ini dengan reda.
“Kami anggap ini sebagai ujian dari yang Maha Esa buat keluarga kami. Tiada apa yang boleh saya cakapkan selain kami menerima takdir ini.
“Cuma yang membuatkan saya sedih sangat bila balik rumah anak-anak tanya di mana ayah mereka. Sebab Azri dengan anak-anak sangat rapat.
“Azri yang rajin melayan semua permintaan mereka. Jadi bila Azri tak ada, mereka tercari-cari,” kata Salma sayu.
Terdahulu di laman Instagramnya, Salma ada memuat status menyatakan perasaannya.
“Allah sebaik-baik perancang. Mengaku tidak semestinya bersalah. Kami lebih mengenalinya,” tulis Salma.
Penyanyi ini juga meminta agar masyarakat tidak membuat sebarang andaian atau sepekulasi yang boleh mendatangkan fitnah.
Azri atau nama sebenarnya, Mohamad Azri Abdullah, 31, membuat pengakuan bersalah pada hari pertama perbicaraan kelmarin.
Dia mengaku melakukan penganiayaan terhadap anak perempuan tirinya berusia 10 tahun ketika itu dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit pangsapuri, Jalan Putra Indah 9/1C, Seksyen 9, Subang Jaya di sini, jam 8 pagi, pada 5 Mei 2016.
Ahli keluarga Azri termasuk Salma dan anak- anaknya menangis tidak dapat menahan kesedihan mereka terhadap keputusan itu.
Wanita dipercayai ibu Azri memeluk erat anaknya dikandang pesalah sehingga beberapa terpaksa ditenangkan oleh polis mahkamah.
Terdahulu peguam, Fahmi Ahmad Moin dalam hujahan mitigasinya berkata, anak guamnya, Azri ketika kejadian sedang menyediakan air mandi untuk bayi mereka yang berusia setahun.
"Pada masa sama, mangsa bergaduh dengan seorang lagi anaknya.
"Tujuan Azri memasukkan tangan mangsa ke dalam tub mandi yang berisi air panas bagi memandikan bayi adalah sekadar untuk menakutkannya," katanya.
Menurutnya, gambar tangan mangsa yang diambil oleh pegawai penyiasat kelihatan serius.
"Ini adalah disebabkan oleh mangsa menghidapi penyakit eczema yang teruk sejak berusia satu tahun," katanya.
Bagaimana pun, Timbalan Pendakwa Raya, V Suloshani menyangkal perkara itu kerana fakta kes yang diakui oleh Azri menyatakan lelaki itu mencelup tangan mangsa ke dalam air panas di dalam periuk selepas mendapati coklat yang dibelinya tiada.
"Kecederaan yang dialami mangsa adalah serius sehingga terpaksa dirawat di hospital selama 19 hari," katanya.
Justeru, Solushani memohon hukuman setimpal terhadap Azri.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.