Kurang sebulan umat Islam bakal menyambut Ramadan. Bagi pelakon Saharul Ridzwan, 29, sebelum tiba bulan dinanti-nantikan itu, dia mahu selesaikan segala tugasan untuk memberi tumpuan kepada ibadat dan keluarga pula.
Kini, dia terikat dengan penggambaran drama Jangan Benci Cintaku untuk slot Akasia.
“Hari ini sudah masuk hari ke-23 dan minggu lalu berada di Australia selama dua minggu untuk drama sama.
“Apabila kembali ke set penggambaran, saya tiada masalah cuma isteri yang agak sibuk dengan persiapan untuk jual tudung sempena Ramadan ini,” katanya.
Saharul berkata, sebelum ini isterinya, Qabeela Deena Amir mengurus butik sendiri tetapi sejak kehadiran anak, wanita pujaan hatinya itu memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
Kini, pelakon itu memberi sokongan penuh dan berasakan sudah tiba masa isterinya kembali melakukan bisnes bagi mengisi masa lapang.
Pelakon dikenali melalui drama Hati Perempuan ini gembira anaknya, Muhammad Luth Ali, 10 bulan, juga sudah mula aktif berjalan dan berlari.
Antara pengalaman tidak boleh dilupakan apabila anaknya itu bangun jam 4 pagi untuk bermain dan berlari sehinggakan dia dan isteri terpaksa bersengkang mata melayan kerenah si kecil berkenaan.
Dalam pada itu, Saharul tidak menolak andai ada rezeki buat anaknya terbabit dalam dunia komersial pada masa depan.
“Kalau ada, saya tidak ada masalah cuma belum terfikir ke arah itu lagi. Mungkin pendapatan daripada situ boleh digunakan untuk pelajarannya kelak,” kata Saharul.
Perkembangan lain, anak jati Pahang itu kini berdebar menanti filem sulung lakonannya, Hantu Rumah Sakit Jiwa yang akan ditayangkan di Astro First pada Jun nanti.
Dia yang terbabit dalam rangka promosi filem itu berharap peminat dapat memberi sokongan kepadanya biarpun ia tidak ditayangkan di pawagam.
“Kebetulan, penggambaran drama Jangan Benci Cintaku dijangka tamat pada pertengahan bulan puasa dan selepas itu saya boleh berehat.
“Selain mahu fokus dengan ibadat dan habiskan masa bersama keluarga, saya akan terbabit dengan acara Havoc Raya bermula 1 hingga 3 Jun depan di Cheras Sentral Mall,” katanya.
Katanya, acara itu dianggap terbesar pernah disertainya kerana tujuh selebriti tempatan termasuk Sabrina Ali dan Mimie Ernida akan berniaga selama 77 jam dan menghiburkan penonton tanpa henti.
Acara anjuran Magna Velvet itu turut menyediakan 777 hadiah misteri beserta 7,777 baucar hadiah berjenama kepada pengunjung.
Tunjang utama acara itu terbahagi kepada 3 bahagian yakni keusahawanan, perkongsian dan pembudayaan.
“Selain membantu usahawan kecil sederhana dari segi pemasaran dan jualan, konsep kongsi rezeki bersama pasukan penganjur terdiri daripada golongan gelandangan, ibu tunggal, kurang berkemampuan, pelajar universiti dan ramai lagi menarik perhatian saya.
“Malah acara ini cuba membudayakan transaksi melalui platform atas talian yang dianggap antara medium baru dan rancak berkembang di seluruh dunia,” katanya.
Menurut Saharul, kaedah itu unik dan mendedahkan masyarakat terhadap perkembangan teknologi seperti yang dilaungkan kerajaan untuk memperkasa Ekonomi Digital.
Pembaca yang ingin tahu lebih lanjut mengenai acara ini boleh melayari laman sesawang www.havocraya.com