Penyanyi Siti Nordiana menafikan dirinya menggunakan populariti pelakon Fikry Ibrahim dan Alvin Chong untuk meraih tontonan tinggi muzik video single terbaharunya, Hatiku Milikmu.
Ketika ini single terbaharu ciptaan Nana berjaya mencecah 1.4 juta tontonan di Youtube dalam tempoh dua minggu.
Nana berkata, tiada istilah mempergunakan sesiapa sebaliknya mereka saling membantu antara satu sama lain.
“Alhamdulillah dalam masa dua minggu single Hatiku Milikmu sudah berjaya mencecah 1.4 juta tontonan di YouTube.
“Tiada istilah mempergunakan mereka untuk menaikkan jumlah tontonan lagu ini. Namun saya akui muzik video lagu ini naik hasil pertolongan mereka yang berkongsi lagu ini di media sosial masing-masing.
“Saya beruntung apabila peminat Fikry dan Alvin sudi membantu dan menyokong mempromosikan single terbaharu saya,” katanya.
Menurut Nana, selain peminatnya yang membantu dia turut berterima kasih kepada peminat Fikry dan Alvin yang sama-sama menyokong single terbaharunya itu.
“Saya memilih mereka berdua sebagai pelakon gandingan dalam muzik video ini kerana kami pernah bekerjasama dalam beberapa drama.
“Jadi ia memudahkan saya untuk menghayati watak dalam muzik video itu. Lagipun mereka ini sudah saya anggap sebagai kawan dan bersyukur mereka tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuan,” katanya.