Keputusan menamatkan khidmat di sebuah hotel ternama di ibu kota dua tahun lalu dianggap pengorbanan paling besar dalam hidup Cef Naem.
Apatah lagi Naem atau Muhammad Naim Ramli, 27, sudah lapan tahun bekerja dalam bidang itu sebelum menyertai program realiti masakan Hero Oven musim pertama pada 2016.
Bagaimanapun, demi menggapai cita-cita yang diimpikan sejak kecil iaitu mengendalikan program masakan sendiri, Naem sanggup berdepan dengan segala risiko.
Naem berkongsi, dia pernah menganggur lima bulan sebelum ditawarkan mengacara program masakan Dapur Panas yang disiarkan di TV3 tahun lalu.
“Selepas menjuarai program berkenaan, saya terus berhenti kerja. Saya fikir ia jalan terbaik untuk fokus cabang baru dalam kerjaya. Namun, rezeki belum berpihak kepada saya kerana terpaksa menganggur lima bulan.
“Ketika itu saya buntu dan tidak tahu nak buat apa. Simpanan dalam bank pula kian berkurang. Terdetik juga rasa menyesal kerana terlalu cepat buat keputusan berhenti kerja. Namun, saya tetap berfikiran positif dan percaya kepada rezeki Allah.
“Sepanjang tempoh itu, ibu bapa banyak memberikan kata-kata semangat. Mereka tidak mahu saya berputus asa. Alhamdulillah, berkat sabar saya ditawarkan mengendalikan program Dapur Panas,” katanya.
Menurut Naem, pembabitan dalam program itu adalah sinar baru dalam hidupnya yang diharap dapat membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.
Malah, Naem bertekad untuk meneruskan kerjaya baru itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Bagi Naem, apa yang penting adalah usaha dan kerja keras.
“Apa saya lalui sekarang ini berkat doa dan restu ibu bapa. Akhirnya, impian untuk mengendalikan program sendiri tercapai.
“Ramai rakan tidak menyangka saya boleh berada dalam bidang ini. Apa yang penting sekarang, setiap peluang diberikan saya cuba buat yang terbaik.
“Satu perkara saya belajar, apa juga cabaran dan dugaan yang datang jangan putus asa atau cepat mengalah. Perkara ini saya semat dalam diri kerana sudah melaluinya. Saya sangat hargai setiap apa dimiliki sekarang,” katanya.
Terima mesej pujian
Harian Metro yang sebelum ini menyiarkan kisah Naem menjadi pemandu Grab secara sambilan mendapat maklum balas positif.
Naem berkata, dia dihujani dengan pelbagai mesej berupa kata-kata semangat dan pujian. Lebih menarik, dia diundang untuk memberikan ceramah motivasi.
“Terima kasih kepada akhbar ini kerana sudi berkongsi cerita saya. Apa saya kongsikan adalah cerita benar dan pengalaman dilalui. Alhamdulillah, ia menarik minat orang lain.
“Saya juga terharu apabila ada pihak memanggil saya untuk memberikan ceramah motivasi. Saya anggap ini rezeki dan bersedia berkongsi perkara baik dengan semua orang,” katanya.
Perkembangan lain, selain menjadi pemandu Grab secara sambilan sejak tiga bulan lalu, Naem baru sahaja terbabit dalam program Dapur Ramadan untuk tayangan Hypp TV.
“Kalau saya tidak bawa Grab, saya tolong kawan menjadi cef sambilan di hotel. Daripada saya tidak buat apa, lebih baik bekerja sambilan. Sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan.
“Insya-Allah, saya bakal terbabit dalam program Apa Nak Makan Ni? untuk siaran Ramadan ini di TV3. Selain itu, saya juga terbabit dalam program Sembang Sahur,” katanya.