Encik Mimpi Dua juta pengikut baru buka topeng


Hampir sedekad dalam industri muzik tanah air, penyanyi bertopeng Encik Mimpi berjanji akan mendedahkan wajah sebenar kepada peminat sebaik mencecah 2 juta pengikut di Instagram.

Hasrat itu disampaikan kepada penonton sewaktu dia memperkenalkan single baru, Rindu Di Jiwa secara langsung di program bual bicara TV1, Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

"Sebenarnya saya tiada niat untuk membuka topeng kerana sudah selesa dengan penampilan ini.

"Tambahan pula, topeng ini sinonim dengan nama Encik Mimpi," katanya.

Penyanyi berasal dari Sarawak itu berkata dia sering kali ditanya peminat bila mahu mendedahkan wajahnya.

"Apabila ditanya soalan itu, saya akan bergurau dengan menjawab apabila jumlah pengikut sudah mencapai 2 juta orang. Namun, jika sasaran itu tercapai, saya akan kotakan janji itu," katanya.

Setakat ini, penyanyi dan penulis lagu itu mempunyai lebih 83,000 pengikut di Instagram.

Jelas Encik Mimpi, dia juga suka mengusik pengikutnya dengan berkongsi gambar artis lelaki Korea Selatan di Instagram miliknya.





"Ada pengikut tertanya-tanya bagaimana rupa Encik Mimpi. Jadi ada kalanya, saya gunakan gambar orang lain sebagai gurauan.

"Saya ada jelaskan di ruangan komen yang gambar berkenaan bukan milik saya," katanya.

Encik Mimpi mula dikenali menerusi single berjudul Rindukanlah dan Ayuh Tinggalkan Dia.

Muzik video single Rindu Di Jiwa yang dilancarkan Oktober lalu sudah mendapat lebih 1.5 juta tontonan di YouTube.

Post a Comment

Previous Post Next Post