Bagi menjaga kesihatan, Sherry kini dalam proses menurunkan berat badan. Dalam tempoh tiga bulan, dia berjaya mengurangkan berat sebanyak 11kg menjadikan berat badannya kini 108kg berbanding 119kg sebelum ini.
Berbadan besar, pelakon dan pengacara popular, Sherry Alhadad mengakui dia tergerak hati untuk menurunkan berat badan bukan kerana untuk kurus namun atas faktor kesihatan.
Menurut pengacara program The Sherry Show itu, doktor pernah memberi amaran dan mengingatkannya untuk menurunkan berat badan dalam tempoh tiga tahun atau dia mungkin berdepan dengan pelbagai komplikasi penyakit.
Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad turut memandang positif apabila walaupun usianya sudah mencecah 33 tahun, jodohnya untuk berkahwin masih belum kesampaian.
Tidak pernah berhenti berharap untuk berumah tangga, dengan terbuka Sherry mengaku pernah menyertai portal cari jodoh, TillJannah namun belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai dengan dirinya.
Berbicara tentang kolaborasinya bersama Asyikin Exclusive, kata Sheryy, dia bakal tampil dengan koleksi baju raya untuk wanita berbadan gempal bersempena Aidilfitri.
KOSMO!: Sherry kelihatan sudah sedikit susut, adakah anda mengamalkan sebarang rejim diet?
SHERRY ALHADAD: Sebelum ini saya ada buat pemeriksaan kesihatan dan doktor selalu cakap saya ada tiga tahun sahaja untuk jaga kesihatan. Bukan untuk mati tapi untuk mengelak daripada sebarang penyakit. Alhamdulillah, saya sudah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram (kg) dalam masa tiga bulan. Saya bersenam dan jaga pemakanan bukan untuk kurus semata-mata tapi untuk sentiasa sihat dan cergas.
Bagaimanakah anda menjaga pemakanan dan meluangkan masa bersenam?
Alhamdulillah, berat badan saya sebelum ini 119kg dan terkini hanya 108kg. Sekurang-kurangnya dalam seminggu, saya meluangkan masa tiga kali untuk bersenam. Selama tiga bulan ini saya memang menjaga pemakanan. Setiap hari saya hanya makan set makanan sihat. Bagaimanapun, saya tetapkan juga hari Ahad sebagai cheat day (tipu). Jadi, hari itu saya boleh makan apa sahaja diinginkan tetapi bukanlah secara berlebihan.
Berbicara soal jodoh, anda sekarang sudah berusia 33 tahun. Ada tidak mana-mana lelaki yang cuba mendekati anda?
Ada memang ada, namun mereka tidak serius. Kalau setakat hantar mesej hai dalam laman sosial, memang tidak berkembang perhubungan. Saya rasa ia mungkin disebabkan ramai sangat kawan dalam industri dan membuatkan tidak keluar daripada kepompong biasa. Ada juga lelaki bekerjaya sebagai guru cuba mendekati, namun saya rasa dia tidak serius. Lagipun, ia sekadar dalam laman sosial dan bagi saya itu bukan tindakan yang berani.
Mengapa anda berkata demikian?
Saya seorang wanita yang amat konvensional. Saya tidak percaya kepada aplikasi-aplikasi yang ramai orang gunakan. Saya tidak suka apabila ada lelaki yang hanya pandai berkata-kata dalam media sosial namun tidak secara berdepan. Kalau menerusi aplikasi seperti Tinder, banyak yang menipu dan tidak boleh percaya pada gambar.
Adakah anda pernah mencuba untuk mencari jodoh dalam aplikasi seperti Tinder?
Tinder tidak pernah. Namun saya pernah mencuba portal mencari jodoh TillJannah. Itu pun tidak serius. Ada yang mendekati namun sebelum isi borang, saya fikir kembali benarkah tindakan yang diambil dan ia tidak berjalan seperti dirancang.
Maksud saya, ia tidak serius. Selain itu, ibu saya pun ada mencuba untuk jodohkan saya dengan anak rakan-rakannya namun tiada jodoh lagi kerana saya rasa masih belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai.
Adakah ibu anda memaksa anda untuk menamatkan zaman bujang?
Kalau boleh sebelum usia 40 tahun saya ingin berkahwin. Ibu tidak memaksa dan dia amat memahami. Saya suka lelaki yang ringkas. Tiadalah saya bermimpi untuk bersuamikan lelaki yang kaya.
Saya rasa ramai orang tahu saya jenis yang suka berborak dan kalau ada teman lelaki, saya suka untuk menghabiskan masa berborak terutama apabila berdepan masalah. Entahlah, jodoh amat subjektif dan saya tidak pernah berhenti mencuba.
Baiklah, boleh kongsikan lebih lanjut berkenaan kolaborasi dengan Asyikin Exclusive?
Alhamdulillah, ini tahun kedua saya bekerjasama dengan Asyikin Exclusive. Insya-Allah kami akan menghasilkan baju raya untuk wanita berbadan besar pula. Setakat ini, sudah ada tiga rekaan baharu. Kami akan melancarkan beberapa rekaan sesuai dengan bentuk badan bersaiz besar dan paling penting harganya amat mampu milik.