PRU-14 sama hari dengan konsert Bruno Mars


Bruno Mars merupakan pemenang Anugerah Grammy ke-60 menerusi album terbaharunya, 24K Magic.

Susulan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang ditetapkan pada Rabu, 9 Mei depan, ramai peminat penyanyi Bruno Mars melahirkan kebimbangan kerana konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur kebetulan berlaku pada tarikh yang sama.

Bagi meredakan ketegangan keadaan tersebut, penganjur konsert tersebut PR Worldwide menerusi laman rasmi Facebook mereka meminta agar peminat bersabar dan menantikan pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

“Terima kasih atas semua mesej dan panggilan telefon yang dibuat berhubung konsert Bruno Mars yang jatuh pada hari sama mengundi.

“PR Worldwide akan membuat kenyataan rasmi tidak lama lagi,” tulis wakil syarikat itu di Facebook.

Sementara itu, di laman sosial Twitter, ramai pengguna laman berkenaan bertanya sama ada tarikh konsert pelantun lagu That’s What I like itu ditunda kepada satu tarikh yang lain.





“Kita ada pelawat istimewa untuk pilihan raya tahun ini dan dia tidak lain dan tidak bukan, Bruno Mars,” ujar seorang pengguna Twitter, @KLnista.

Seorang pengguna Twitter lain, @adriantansays menulis: “Pilihan raya jatuh pada hari sama dengan konsert Bruno Mars di Malaysia. Adakah konsert akan ditunda?”

Hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan hari pembuangan undi bagi PRU-14 akan diadakan pada 9 Mei.

Konsert Bruno Mars 24K Magic World Tour bakal diadakan di Axiana Arena, Bukit Jalil dan kesemua 12,000 tiket telah pun habis dijual.

Post a Comment

Previous Post Next Post