Piawaian kerja Hanna Aqeela


Sudah hampir empat tahun Hanna Aqeela menjadikan bidang lakonan sebagai sumber mata pencarian utamanya. Sepanjang tempoh tersebut, wanita berusia 28 tahun itu telah diberi tanggungjawab untuk menjayakan variasi watak menerusi pelbagai genre drama bagi tayangan televisyen.

Selain itu, Hanna atau nama lengkapnya, Hanna Aqeela Mohd. Rosni juga pernah diberi peluang memainkan watak heroin dalam filem perdana lakonannya, Dubai My Love yang ditayangkan sekitar penghujung tahun lalu.

Biarpun kerap muncul di kaca televisyen dan pernah beraksi sebagai pelakon layar perak, Hanna disifatkan masih gagal mencetak namanya sebaris dengan rakan-rakan seperjuangan lain.

Ada yang mengatakan bahawa wanita genit yang cukup sinonim dengan potongan gaya rambut melepasi paras bahu itu belum bertemu ‘jodoh’ dengan naskhah drama yang bersesuaian dengan dirinya.

Ada juga yang berpendapat, Hanna perlu mencari gaya lakonan atau identiti tersendiri ketika berkarya agar apa yang dipersembahkan di kaca televisyen mampu meninggalkan impak ke jiwa khalayak.

Melihat pendapat tersebut sebagai satu input positif untuk kariernya, Hanna percaya, banyak perkara perlu diperbaiki bagi meletakkan dirinya sebaris dengan pelakon-pelakon lain.

Positif

“Saya sedar, masih banyak pihak yang tidak mengenali nama Hanna Aqeela walaupun telah hampir empat tahun saya bergelar pelakon.

“Hal ini mungkin disebabkan oleh gaya lakonan saya yang masih belum sempurna untuk memberi kesan mendalam kepada penonton. Tidak seperti pelakon lain yang mempunyai identiti tersendiri, mereka lebih diingati,” katanya jujur.

Tambah Hanna, dia juga sering mengimpikan kelebihan sebegitu, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan kemasukan pelakon baharu.

“Bukan mudah untuk membuatkan khalayak mengingati kita. Jika benar-benar bagus dan lakonan yang dipersembahkan menepati cita rasa penonton, sudah tentu seseorang pelakon akan diingati.

“Disebabkan itu, saya cuba sebaik mungkin untuk memperbaiki diri dalam bidang lakonan supaya setiap apa yang dijayakan diterima baik oleh penonton dan peminat,” kata Hanna lagi.

Mahu menjadikan kualiti lakonan sebagai tanda dagangnya, Hanna mahu terus belajar terutama daripada pengarah dan pelakon-pelakon senior.

“Sepanjang bergelar pelakon, saya berasa sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan individu-individu berpengaruh yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang lakonan.

“Banyak yang saya pelajari secara tidak formal daripada mereka. Sedikit sebanyak, pembelajaran tersebut memberi lebih keyakinan kepada saya untuk terus maju dalam industri,” katanya positif.





Komersial, antagonis

Berbekalkan raut wajah cantik dengan sepasang bola mata yang redup, Hanna boleh dikategorikan sebagai seorang pelakon komersial dan mampu membawakan pelbagai watak.

Biarpun wajah komersial dianggap oleh sesetengah pelakon sebagai satu ‘kekurangan’, namun bagi Hanna, ia dilihat sebagai satu kelebihan.

“Saya bersetuju yang wajah saya sukar diingati kerana berubah mengikut watak yang dijayakan tetapi saya tidak lihat ia sebagai suatu perkara yang negatif.

“Bagi saya, memiliki wajah komersial merupakan suatu kelebihan kerana ia memberi peluang kepada penerbit dan pengarah untuk bereksperimen dengan pelakon menerusi watak yang berlainan,” katanya.

Disebabkan wajah komersialnya itu, dia juga pernah diberi peluang untuk membawakan watak antagonis, seperti yang dijayakannya dalam telefilem Dendam Yang Tertangguh pada November tahun lalu.

“Saya tidak kisah diberikan sebarang watak, asalkan ia dapat mencabar kredibiliti lakonan.

“Secara tidak langsung, pendedahan terhadap pelbagai watak dapat membantu saya memperbaiki diri pada masa depan,” katanya lagi.

Cabaran

Beralih tentang perkembangan terkini, selain sedang menjalani penggambaran drama bersiri Sepasang Awan Putih, drama lakonannya, Kelip-Kelip Di Kota London sedang bersiaran menerusi slot Zehra di TV3.

Menganggap drama arahan Murali Abdullah itu sebagai sebuah naskhah drama yang berat, banyak cabaran terpaksa dilaluinya sepanjang penggambaran terutama melibatkan emosi dan penghayatan watak.

“Sebelum ini, watak-watak yang saya jayakan tidak seberat seperti watak Insyirah dalam Kelip-Kelip Di Kota London. Menerusi watak ini, saya diminta untuk lebih fokus, memandangkan banyak babak menangis perlu dilunaskan.

“Pada awalnya agak sukar juga tetapi disebabkan bantuan pengarah dan pelakon lain, saya mampu menjayakan watak tersebut dengan baik,” katanya yang turut berdepan masalah cuaca dan suhu sejuk ketika menjalani penggambaran di London, England.

Hanna turut melahirkan rasa bersyukur kerana digandingkan dengan Hafidz Rosdi yang disifatkan banyak membantu ketika berada di lokasi penggambaran.

“Dia banyak membantu saya terutama sewaktu menghayati watak bersama. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat untuk memberikan hasil yang terbaik buat penonton.

“Alhamdulillah, tiada sebarang masalah ketika bergandingan dengannya,” tutup Hanna.

Mula aktif dengan lakonan sejak tahun 2014, namun Hanna Aqeela mengakui masih kurang dikenali, baik dalam kalangan penonton mahupun orang industri.

Post a Comment

Previous Post Next Post