Artis versatil buruan Aqeesh Aleeya


Aqeesh Aleeya bergelar juara program realiti online Bakat Ohsem Malaysia 2017.

Bertitik tolak dari situ, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Damansara 2, Selangor itu tidak mahu impian bergelar anak seni terhenti setakat menggenggam trofi kemenangan dalam program realiti tersebut sahaja.

Bahkan, pemilik nama sebenar, Nur Balqis Aleeya Shahrom itu bertekad mahu menjadi artis versatil, sekali gus melakar nama di persada seni tanah air.

Aqeesh Aleeya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu, kemenangan dalam program Bakat Ohsem Malaysia 2017 menjadi suntikan semangat buatnya untuk terus mengejar impian sebagai anak seni serba boleh.

“Saya tidak menjangka akan bergelar juara dalam program berkenaan. Ramai lagi peserta lain yang berbakat, malah lebih berusia daripada saya.

“Bagaimanapun, kemenangan tersebut menjadi suntikan semangat kepada saya untuk mengejar cita-cita dalam dunia seni tanah air,” katanya ketika ditemui di studio Utusan baru-baru ini.

Anak jati Selangor yang mula meminati bidang nyanyian seawal usia dua tahun itu turut menyifatkan kejayaan awal yang diperoleh sebagai platform untuk merealisasikan impian bergelar anak seni suatu hari nanti.

Versatil

Gadis yang pernah menuntut di Sekolah Seni Malaysia, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor itu menjelaskan, dia tidak mahu membataskan bakatnya semata-mata mahu menjadi penyanyi.

Tidak menolak kemungkinan untuk memenuhi impian bergelar guru vokal, Aqeesh seboleh-bolehnya mahu meneroka pelbagai cabang dunia seni tanah air.

“Sebagai penyanyi baharu, terdapat banyak perkara yang perlu saya pelajari apabila ingin berkecimpung dalam dunia seni. Bahkan, saya turut mengikuti kelas vokal untuk memantapkan lagi mutu persembahan.

“Saya juga tidak mahu mengehadkan perjalanan seni ini dengan hanya bergelar penyanyi. Saya mahu menjadi artis versatil yang bukan sahaja boleh menyanyi tetapi menggubah lagu, menari dan banyak lagi,” ujarnya.





Kata Aqeesh, ibu bapanya juga banyak memainkan peranan mencungkil bakatnya dalam bidang nyanyian, malah tidak pernah berputus asa memberi sokongan agar dia terus maju dalam lapangan seni.

Sebagai anak, dia berharap dapat membalas kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada kedua ibu bapa untuk melakar nama dalam bidang seni.

Aqeesh Aleeya memberitahu, dia sedang dalam proses untuk membikin single sulung sebagai persediaan mengorak langkah dengan lebih serius bergelar penyanyi.

Bagaimanapun, juara Bintang Kecil RTM pada tahun 2013 dan 2014 itu berkata, pemilihan komposer dan lagu yang sesuai masih dilakukan untuk single berkenaan.

“Kalau tiada aral melintang, single berkenaan akan disiapkan pada hujung bulan ini dan seboleh-bolehnya akan dkeluarkan tahun ini,” katanya.

Menyentuh tentang keseimbangan antara karier seni dan akademik, Aqeesh menyifatkan perkara tersebut bukan suatu masalah baginya. Jika bijak menguruskan masa, kedua-dua bidang tersebut mampu dikendalikan dengan efisyen.

“Saya bersekolah pada waktu pagi. Justeru, saya mempunyai masa untuk berlatih dan melakukan aktiviti seni pada sebelah petang atau cuti persekolahan,” tuturnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post