Nadiyah dapat permit kerja selama sebulan.
Pelakon Nadiyah Shahab meluahkan rasa syukur apabila ada produser yang sanggup menolongnya untuk menyelesaikan masalah permit bekerja di Malaysia.
Nadiyah atau nama sebenarnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 27, berkata buat masa ini dia akan mendapat permit bekerja untuk tempoh sebulan dan perlu memperbaharuinya selepas itu.
"Alhamdulillah, selepas artikel mengenai saya ditahan sebab tak ada permit kerja, saya terus dapat berita baik. Bersyukur sangat ada produser yang sudi menolong dan membuatkan permit untuk saya bekerja di Malaysia.
"Permit itu hanya untuk sebulan dan seterusnya saya perlu memperbaharuhi," kata Nadiyah.
Nadiyah dapat pertolongan daripada seorang produser.
Sebelum ini, Nadiyah yang berasal dari Singapura dilarang memasuki negara ini selepas ditahan pihak imigresen Johor atas alasan tidak memiliki permit untuk bekerja di Malaysia.
Malah, berita itu juga telah menarik perhatian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang mahu semua pihak, termasuk syarikat produksi mengambil iktibar daripada insiden itu.
Menurut pelakon drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu ini, dia akan mendaftarkan diri sebagai ahli Seniman namun berharap persatuan tersebut melakukan tugas dengan baik.
"Saya dah ada permit, nanti akan daftar untuk jadi ahli Seniman. Tapi persatuan itu perlu melakukan kerja sebagai contoh menjaga kebajikan ahli.
"Sebagai contoh, ada rakan saya patah tangan tapi dia hanya boleh buat tuntutan lebih kurang RM300 sedangkan bil hospital mencecah RM5,000.
Nadiyah Shahab.
"Saya bukan nak menentang tapi berharap apabila sertai itu berbaloi," ujarnya.
Pelakon kelahiran Singapura ini juga berharap pihak produksi dapat mengubah syarat permit bagi memudahkan sesiapa yang ingin bekerja di Malaysia.
"Saya harap pihak produksi dapat mengubah syarat permit lebih dari dua bulan bagi memudahkan selebriti luar atau sesiapa saja untuk bekerja di sini.
"Selain itu, agak sukar untuk artis luar ingin hadir ke set program stesen TV perlu bayar dalam RM2,000 untuk slot 10 minit," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nadiyah kini sedang menjalani penggambaran drama di Singapura dan masih mempunyai perniagaan di Malaysia.