Altimet bakal bersara daripada dunia nyanyian pada November depan.
Penyanyi rap Altimet yang bakal bersara daripada bidang nyanyian pada akhir tahun ini berharap ketiadaannya nanti dapat membuka ruang kepada pendatang baharu mengisi kekosongan ditinggalkannya.
Altimet berkata, sebagai seorang 'veteran' dalam bidang hip hop, perkara itu adalah salah satu sebab dia ingin bersara selain mahu melihat genre itu terus berkembang dengan kehadiran bakat baharu.
"Macam mana orang baru hendak naik kalau orang lama tak buka ruang itu?
"Jadi demi kemajuan hip hop, orang 'veteran' seperti saya kena buka ruang itu kerana saya mahu wujudkan kelompongan itu supaya ada yang mengisinya," katanya.
Altimet muncul dengan album baharu, Air.
Altimet pernah membuat pengumuman nekad bersara pada hari lahirnya yang ke-40 pada 27 November depan.
Pemilik nama sebenar Ahmad Abdul Rahman itu berkata, sudah tiba masanya dia berubah angin ke bidang lain.
Altimet bagaimanapun berkata, dia masih terlibat dalam bidang muzik namun sekadar di belakang tabir termasuk memberi tumpuan kepada gubahan dan penulisan lagu.
Dalam pada itu, Altimet berkata, penyanyi rap generasi baharu seperti Sonaone, Aman Ra, Akeem Jahat dan Alif dilihat mempunyai potensi besar untuk membawa genre itu ke tahap lebih tinggi.
Sonaone.
Kata Altimet, sejak di awal kemunculan mereka, dia memang memandang tinggi kebolehan dan bakat dimiliki serta yakin mereka mampu pergi jauh sekiranya diberi peluang.
"Mereka memang berbakat besar dan mempunyai potensi kerana keunikan yang ada pada diri masing-masing.
"Saya yakin nama-nama ini mampu membawa perubahan kepada hip hop pada masa hadapan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Altimet yang muncul dengan album terbaharu berjudul Air memberitahu bakal berehat seketika menjelang Ramadan untuk persiapan album terakhirnya yang dijangka berada di pasaran sebelum dia bersara.