Biarpun bergelar artis terkenal, Liza Hanim mengakui tiada masalah untuk membuat promosi di pusat membeli-belah.
Malah, selebriti berusia 38 tahun ini berkata,tidak wujud istilah malu kerana itulah peluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan peminat.
“Jujurnya, saya tak kisah pun. We have to see our fans di mana sana sahaja mereka berada.
“Lagipun, itulah yang saya buat dari dulu. Cuma saya lihat trend ini pernah terhenti seketika. But now, saya lihat ia dah kembali semula.
“Memanglah ia penat sedikit, tapi sebenarnya sangat berbaloi. Seronok pun ada,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran Sepetang Bersama Bonda Ratuku.
Mengakui kewujudan media sosial turut membantu, namun pelantun lagu Siapa Sangka Siapa Menduga ini percaya kepada penampakan fizikal buat peminat.
“Memang tak dinafikan media sosial banyak membantu tapi peminat kita pun nak lihat kita juga.
“Biarlah kita sendiri turun padang dan menghiburkan mereka, rasanya itu akan buat kita lebih dekat dengan peminat.
“Lagipun, ia akan buat saya rasa lebih puas,” katanya.
Kini, Liza sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya, Mimpi ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Fedtri Yahya, sejak awal Mac lalu.
Pada masa sama, bekas peserta program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ini mengakui terkejut dengan sikap netizen, selepas kembali aktif memeriahkan industri seni.
“Huii… netizen ini memang lain macam sangat. Very scary. Ada saja. Tapi, kalau tak ada mereka, tak meriah pula kan?
“Kata-kata mereka, memang agak sakit hati tapi saya ambil pendekatan malas nak layan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Liza bakal bergandingan dengan Safura Yaacob bagi menghiburkan peminatnya manakala Fauziah Ahmad Daud berperana sebagai pengacara sempena sambutan Hari Ibu melalui program Sepetang Bersama Bonda Ratuku di Hotel Premiera Kuala Lumpur, pada 1 Mei depan.
“Insya-ALLAH, saya akan menyampaikan lima lagu hits selain persembahan duet istimewa bersama Safura.
“Acara ini bertujuan untuk meraikan ibu-ibu dan saya sendiri pun teruja kerana sudah lama tak buat persembahan besar seperti ini.
“Paling seronok bergandingan dengan Safura kerana kami muncul pada tahun sama dalam industri tetapi tak pernah berpeluang bekerjasama,” katanya.