Seperti mana asuhan dan didikan daripada ibu bapanya, Datuk Fazley Yaakob turut memainkan peranan sama ke atas anak-anaknya.
Malah, chef selebriti berusia 40 tahun ini turut mengenakan hukuman setimpal sekiranya anak-anaknya melanggar peraturan.
"Saya didedahkan dengan dua perkara oleh parents iaitu kasih sayang yang sentiasa dibentuk dan juga disiplin yang disarankan setiap waktu.
"Jadi, untuk anak-anak, bila masa untuk dibelai manja, saya akan layan, tapi kalau time rotan, saya rotan betul," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran program realiti, Oh My Family!.
Begitu pun, pelantun lagu Asmara ini berkata, hukuman yang dikenakan masih di tahap berpada-pada.
"Cuma, bila saya rotan, saya ada batas, saya hanya pakai hanger plastik dan tali pinggang kecil.
"Dan... saya hanya akan pukul di tapak tangan kiri dan kalau perlu, saya akan pukul dia punya bambam (punggung), tapi itu pun tak kuat. Biasanya, saya lebih guna suara (tinggi).
"Tapi, saya memang bersikap adil dengan anak-anak. Kalau abang kena rotan, adik kena tengok. Kena jadi saksi supaya mereka tak repeat benda sama. Kadang-kadang, semua pun kena rotan," katanya sambil tertawa.
Bagaimanapun, juara Masterchef Celebrity Malaysia ini enggan bersikap terlalu garang lantaran bimbang anak-anaknya akan menyimpan perasaan takut dan dendam.
"Saya tak nak benda itu berlaku. Saya sendiri walaupun ayah saya garang gila tapi saya tak pernah berdendam dengan dia.
"Prinsip saya dengan anak-anak, kalau saya rotan tak sampai dua minit. Saya hanya bagi dua minit untuk saya peluk dan cium. Saya takkan biar lama-lama. Begitu juga isteri.
"Biasanya, kalau saya marah anak-anak, isteri yang akan peluk mereka, begitu juga sebaliknya. Selama ini, memang itulah prinsip yang kita kekalkan," katanya.
Lebih membanggakan, katanya, hukuman yang dipraktikkannya itu dilihat berjaya meninggalkan kesan positif.
"Alhamdulillah, pada saya ia berjaya kerana guru-guru mereka melihat anak-anak saya sebagai unik.
"Malah, mereka (guru) juga memuji tingkah laku anak-anak saya yang saling menjaga di antara satu sama lain ketika di sekolah," katanya.
Fazley mendirikan rumah tangga dengan Datin Azrene Soraya Abdul Aziz pada 2007.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah (Payish), 10, Ahmad Fieradz Shah (Piyash), 8, Ahmad Firudz Shah (Piyush), 7, dan Alayna Selma, tujuh bulan.
Dalam perkembangan lain, Fazley dan tiga anak lelakinya, Payish, Piyash dan Piyush bakal menjayakan program terbaharu, Oh My Family!
Selain keluarganya, program ini turut menampilkan gelagat anak-anak Aziz M Osman, Datuk Aaron Aziz, Azad Jazmin dan Rita Rudaini.
Ia bakal bersiaran di saluran Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Ceria (611) pada setiap Rabu, jam 9 malam bermula 11 April depan.