Legasi sosial Kylie Jenner


Temu bual Selepas melahirkan Stormi, Jenner belum bersedia untuk melakukan sebarang temu bual. Namun, sebagai selebriti yang telah sebati dengan media sosial, dia melakukan sesi soal jawab santai bersama peminat menerusi akaun Twitternya.

Saya menerima 100,000 ribu pengikut Instagram setiap hari, ujar Kylie Jenner kepada Celia Walden, penulis majalah yang berpeluang mewawancara wanita berusia 21 tahun itu di kediamannya yang terletak di Calabasas, California, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Angka yang dinyatakan Jenner barangkali agak besar bagi golongan kebanyakan atau pengguna Instagram yang lain. Namun, untuk individu dengan 106 juta pengikut, ia merupakan satu situasi yang agak normal.

Sebagai salah seorang bintang program realiti popular, Keeping Up With The Kardashians (KUWTK) yang membesar pada era kemuncak platform media sosial, Jenner boleh diibaratkan seperti pencetus trend.

Kosmetik

Hal ini dapat dilihat menerusi pelancaran gincu bibir pertamanya, Kylie, menerusi syarikat Kylie Cosmetics yang dibangunkan sekitar tiga tahun lalu.

Biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kecantikan mahupun perniagaan, percaturan Jenner ketika usianya pada waktu tersebut baru mencecah 18 tahun dilihat menjadi.

Kegilaan luar biasa dapat disaksikan apabila produk yang dikeluarkan, habis terjual dalam beberapa minit setiap kali ia dilancarkan.

“Sewaktu idea untuk mengeluarkan gincu bibir dibincangkan, saya tidak pernah terfikir ia akan menjadi kegilaan ramai. Lebih dahsyat, stok habis terjual dalam masa beberapa minit selepas ia dilancarkan.

“Tidak kira berapa unit yang kami hasilkan, gincu bibir Kylie pasti habis dijual dalam masa yang sangat pantas,” katanya.

Sehingga kini, syarikat Kylie Cosmetics yang dibangunkan oleh Jenner dianggarkan bernilai sekitar AS$386 juta (RM1.4 bilion) dan dijangka bakal mencecah sehingga AS$1 bilion (RM3.8 bilion) menjelang tahun 2022.

Pengaruh Jenner tidak hanya berlegar dalam bidang kosmetik. Adik tiri kepada Kim Kardashian itu juga memiliki aplikasi telefon bimbit selain mengusahakan jenama pakaian bersama kakaknya, Kendall Jenner.

Menjadi figura yang sentiasa ditonton oleh masyarakat, Jenner bagaimanapun menafikan selesa dengan perhatian yang diraih.

Media Sosial
“Peminat yang mengikuti saya di Instagram atau menonton setiap episod KUWTK seperti tahu tentang diri saya luar dan dalam. Hakikatnya, tidak.

“Saya hanya berkongsi perkara yang patut dikongsi, tidak lebih daripada itu,” tuturnya dalam nada jujur.

Menurut Jenner, dia tidak mahu terus leka dibuai perhatian dan percaya bahawa rancangan realiti yang dibintangi tersebut akan berakhir apabila tiba masanya nanti.

“Secara perlahan-lahan, saya sudah mula mengasingkan diri daripada terus berada di hadapan kamera. Suatu hari nanti, KUWTK akan berakhir dan saya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang perniagaan,” katanya.

Meskipun berniat mahu memberi fokus terhadap bidang perniagaan, Jenner tetap berhasrat meninggalkan pengaruh yang baik dalam platform media sosial.

Memilih untuk memberi inspirasi kepada orang ramai, Jenner melancarkan kempen #IamMoreThan bagi menangani masalah buli yang kerap berlaku dalam alam maya.

“Media sosial banyak memberi inspirasi kepada saya untuk membangunkan kempen ini. Sejak menggunakan platform laman sosial, banyak kata-kata kesat dan ugutan dilemparkan kepada saya.

“Pada awalnya, saya agak terkesan apabila dikecam dengan kata-kata kurang enak. Namun, lama-kelamaan saya sudah terbiasa. Saya berharap kempen ini dapat membantu mereka yang mengalami situasi sama seperti saya,” katanya lagi.

Impak
Masih mengenai impaknya dalam media sosial, Jenner pernah menggusarkan jiwa banyak pihak, khususnya kelompok peminat apabila khabar angin mengatakan dia sedang mengandung anak kekasihnya, penyanyi rap Travis Scott bertiup kencang sekitar akhir tahun lalu.

Pelbagai laporan diterbitkan dan bermacam-macam andaian dilakukan, namun baik Jenner mahupun ahli keluarganya, masing-masing bertindak mengunci mulut mengenai perkara tersebut.

Selama lebih enam bulan ‘berkurung’ di rumah dan tidak aktif dalam media sosial, Jenner akhirnya mengumumkan tentang kelahiran anak perempuannya di Instagram dan YouTube pada 6 Februari lalu.

Seperti yang dijangka, berita tersebut meraih banyak liputan media sehingga menenggelamkan persembahan Justin Timberlake pada acara Super Bowl yang diadakan pada tarikh dan waktu sama.

Menurut data keluaran 4C Insights, syarikat yang menguruskan interaksi penonton secara digital, kelahiran anak perempuan Jenner menerima 1,073,672 interaksi, berbanding persembahan 30 minit Timberlake hanya meraih 743,833 interaksi pada waktu tersebut.

Beberapa hari selepas pengumuman tersebut, Jenner sekali lagi mencetuskan ribut dalam kalangan peminat apabila anak perempuannya diberi nama sebagai Stormi.

Biarpun menerima kecaman kerana nama tersebut kedengaran agak pelik, namun nama Stormi yang dimuat naik bersama sebahagian gambar anaknya itu telah disukai sebanyak lebih 17 juta orang dengan komen sebanyak 1.9 juta di Instagram.

Tidak hanya mampu membuatkan peminat panasaran, Jenner turut memberi impak yang sangat besar terhadap ekonomi sebuah syarikat yang cukup terkenal dengan aplikasi perkongsian video secara online, iaitu Snapchat.

Ketika Snapchat mengubah suai antara muka (interface) pada aplikasinya, Jenner seperti tidak bersetuju dengan perubahan tersebut dan meluahkan ketidakpuasan hatinya di Twitter.

“Adakah saya seorang sahaja yang tidak lagi menggunakan Snapchat?” tulis Jenner dalam satu status kepada 24.5 juta pengikutnya di Twitter.

Tidak lama selepas tweet tersebut disiarkan, stok saham milik Snap Inc. menjunam jatuh sebanyak 7.2 peratus pada nilai AS$1.3 bilion (RM5.2 bilion).

Lalu, tidak keterlaluan jika dikatakan, pengaruh Kylie Jenner dalam kalangan pengguna media sosial begitu kuat sehingga setiap gerak-geri dan keputusannya menjadi subjek perdebatan.

Biarpun diberi jolokan sebagai selebriti tanpa bakat dan popular tanpa sebab, namun Jenner merupakan seorang yang bijak mencuri peluang serta arif meneliti keadaan.

Berbekalkan perhatian jutaan pengikut setia dalam platform sosial media, dia kini sedang membina legasi digital yang barangkali sangat sukar untuk ditandingi orang lain.

Dia membesar dalam persekitaran yang memerlukannya tampil cantik setiap hari. Dia juga seperti didorong melakukan perkara-perkara eksentrik, sehingga berjaya mengumpan khalayak untuk jatuh suka lalu mengikuti rutin hariannya dalam media sosial. Sungguhpun dilabel banyak orang sebagai selebriti tanpa bakat yang sering dahagakan populariti, ironi, kehadirannya dalam budaya pop dilihat memberi impak besar terhadap masyarakat, baik dari sudut sosial mahupun perniagaan. Dia, Kylie Jenner.

Post a Comment

Previous Post Next Post