Penerbit dan pelakon, Datuk Hans Isaac mendedahkan, dia berasa tersinggung dengan komen sesetengah netizen yang mempertikaikan menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 2016.
Ujar selebriti berusia 47 tahun ini, dia menyedari bahawa ada yang mempertikaikan gelaran Datuk yang diterimanya dan secara tidak langsung menjadikan dia sebagai antara mangsa buli siber.
"Saya tahu ada yang kata saya bayar untuk mendapatkan anugerah tersebut. Padahal saya dah 20 tahun berkecimpung di dalam industri dan dah berapa juta ringgit saya laburkan sebagai penerbit.
"Saya tak suka kena perkataan kurang ajar, tapi saya rasa mereka yang suka membuli ini sebagai kurang ajar.
"Bagaimanapun saya memilih pendekatan untuk tidak memberi apa-apa respons di media sosial," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen ‘Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu’ di Kuala Lumpur Performing Arts Centre, semalam.
Hans berkata, dia adalah antara selebriti yang bekerja keras untuk memastikan nama dan jenama mereka terus kekal relevan di dalam industri seni.
"Saya antara selebriti yang tidak ada media sosial ketika awal penglibatan kami di dalam industri.
"Kami gunakan bakat untuk terus kekal berada dalam industri dan kami berjaya berada di dalam industri sehingga ke hari ini.
"Jadi adilkah melihat artis seperti saya membeli title Datuk dan sebagainya," ujarnya.
Berkongsi mengenai idea kempen tersebut, Hans berkata, idea kempen ini bermula daripada Neelofa dan dia kemudiannya mencadangkan pelakon dan pengacara popular itu untuk meyebarkannya secara serius.
"Bila dia kongsikan pendapatnya, saya kata pada dia, dia perlu berbuat sesuatu dan jangan cakap sahaja. Saya kata, cari rakan-rakan yang mahu berganding mahu dan kita mulakan satu kempen.
"Bila dia beritahu ramai berminat, saya bantu dia untuk mulakan kempen ini dan segala proses fasa pertama ini berlaku dalam tempoh 12 hari sahaja.
"Bagaimanapun, pelancaran kempen ini bukan titik noktah sebaliknya ia permulaan dan selepas ini akan ada beberapa fasa lagi yang kita akan laksanakan bagi memberi kesedaran kepada semua.
"Kalau kita tak dapat hentikan sekalipun, setidaknya kita kurangkan buli siber di media sosial," ujarnya.
Tambah Hans, generasi masa muda kini tidak menyedari betapa besarnya implikasi daripada media sosial, sekiranya disalah gunakan.
"Macam saya, saya ada company, bila nak ambil staff baharu bekerja, mestilah saya akan periksa latar belakangnya terlebih dahulu.
"Jadi anda bayangkan bagaimana sekiranya anda pernah difitnah atau dibuli di media sosial seperti dikatakan kaki disko dan ada yang muat naik gambar anda tanpa pengetahuan, tentu ia memberi implikasi buruk.
"Jadi sebab itulah pentingnya untuk kita menyuntik kesedaran agar orang lain tidak sewenang-wenangnya membuli kita," katanya.