GGV2: Peserta solo lebih menonjol


Minggu pertama program realiti Islamik, Gema Gegar Vaganza (GGV2) menyaksikan penguasaan peserta solo berbanding peserta berkumpulan.

Berbanding musim pertama tahun lalu, walaupun masih awal untuk melakukan jangkaan, namun sepertinya fenomena program berkenaan kurang menyengat berbanding musim terdahulu.

Barangkali, ‘keterbukaan’ penyertaan GGV2 yang bukan hanya terhad kepada penyanyi nasyid atau kerohanian sedikit sebanyak membuatkan program Islamik nombor satu tanah air tahun lalu itu kurang intipatinya.

Seperti kata juri tetap, Oki Setiana Dewi, pada musim lalu dia begitu mudah mengalirkan air mata menyaksikan persembahan peserta namun perkara itu tidak berlaku pada musim ini walaupun pertandingan baru bermula.

“Saya memang seorang yang mudah mengalirkan air mata, namun tidak pada hari (malam) ini. Kalau tahun lalu saya amat mudah tersentuh dengan persembahan para peserta, tahun ini minggu pertama ia tidak berlaku.

“Nasihat saya, peserta perlu menyanyi dari hati supaya senang sampai ke hati orang lain. Minggu pertama ini banyak lagu-lagu yang bersifat sedih, namun saya hairan mengapa tidak merasakannya,” katanya.

Oki juga tidak menolak faktor kehebatan peserta tahun lalu membuatkan musim kali ini masih mencari rentak untuk menandingi apa yang telah dipertontonkan.

“Mungkin tahun lalu ramai kumpulan hebat seperti Hijjaz, UNIC dan sebagainya. Tahun ini saya pun lihat peserta solo lebih menonjol berbanding berkumpulan.

“Saya berharap graf persembahan akan terus meningkat apabila peserta terus memperbaiki corak persembahan,” ujarnya lagi.





Dominasi

Sementara itu, Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris optimis dengan mengatakan, kualiti peserta pada edisi kali ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.

“Kita melihat tahun lepas sebagai kayu ukur yang tinggi. Namun kalau kita lihat dari segi kualiti, tahun ini melebihi daripada apa yang ditunjukkan tahun lepas,” jelas Namanzee.

Sementara itu, seorang lagi juri tetap, Farihin Abdul Fatah berpendapat masih terlalu awal untuk menilai siapa paling hebat dalam pertandingan ini.

“Minggu pertama ialah ‘minggu mengah’. Mereka tidak jangka respons penonton bagaimana dan latihan baru bermula.

“Saya suka ingatkan, antara peserta perlu tahu kelebihan peserta lain. Misalnya, Adeep seorang guru vokal dan peserta lain perlu belajar sesuatu daripada dia.

“Adeep pun harus memberi ruang kepada kawan-kawan dan saling menasihati. Para peserta perlu sentiasa belajar dan memperbaiki kelemahan masing-masing,” kata Farihin.

Dikendalikan oleh Siti Nordiana, Fikry Ibrahim dan Fakhrul UNIC sebagai pengacara, GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Post a Comment

Previous Post Next Post