Janna Nick bakal rai Aidilfitri 
di Moscow


Ada apa antara Janna Nick dan Sufian Suhaimi? Itulah yang menjadi persoalan banyak peminat sejak pelakon itu mendendangkan semula lagu milik Sufian, Di Matamu selain meninggalkan komen dan usikan yang disifatkan romantis kepada bekas tunangan Elfira Loy itu baru-baru ini.

Janna hanya ketawa saat persoalan itu diajukan kepadanya. Menyifatkan banyak hal yang lebih penting untuk dibicarakan, dia bagaimanapun tidak menolak memberi pencerahan terhadap pertanyaan tersebut.

“Tiada sebarang hubungan istimewa kerana kami telah lama saling mengenali antara satu sama lain. Malah, Sufian juga tidak marah mahupun tersinggung ketika saya mendendangkan semula lagunya.

“Segala usikan di media sosial hanyalah gurauan dan tiada membawa sebarang maksud. Tambahan, saya hanya menjadi sebahagian daripada mereka yang mengikut trend untuk cover lagu tersebut.

“Jadi, harap tidak wujud salah faham kerana saya dan Sufian hanya kenalan sekerja serta apa yang berlaku sekadar gurauan sahaja,” terang Janna panjang lebar saat menjawab pertanyaan mengenai tindakan meninggalkan komen berbau romantis pada akaun Instagram Sufian baru-baru ini.

Meninggalkan topik hangat tersebut, pelakon itu lebih teruja untuk berkongsi tentang pembabitannya sebagai duta telefon pintar jenama Vivo.

Pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah itu terpaksa melepaskan peluang untuk bersama keluarga bagi menyambut Aidilfitri demi melunaskan tanggungjawabnya sebagai duta.

Jenama produk berkenaan yang turut terlibat dengan acara Piala Dunia FIFA 2018 di Moscow, Rusia memperuntukkan Janna untuk menyaksikan perlawanan pembukaan bola sepak tersohor dunia itu di sana.

Pastinya, berkunjung ke stadium pada perayaan hari raya tidak pernah difikirkan oleh wanita berusia 23 tahun itu, apatah lagi dia seorang yang amat mementingkan hubungan kekeluargaan.

“Perasaan sedih pasti akan ada tetapi demi tugas saya terpaksa memilih untuk mendahulukan kerjaya terlebih dahulu. Namun, sekiranya berkesempatan saya merancang untuk membawa keluarga beraya di Rusia.

“Memandangkan ini merupakan lebaran pertama di perantauan, saya kemungkinan akan membawa sendiri rendang bersama beberapa hidangan lain di sana kelak,” katanya dalam nada berseloroh.

Kata Janna, dia dijadualkan berangkat ke Rusia tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri, manakala akan pulang semula pada hari raya keempat.

Meskipun keluarganya telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara tersebut, namun menerusi riak wajah Janna yang ditemui pada majlis pelancaran Vivo V9 baru-baru ini menunjukkan sebaliknya.

“Keluarga telah mengetahui tentang perkara itu dan mereka tidak mempunyai masalah sekiranya saya tidak dapat pulang beraya bersama pada tahun ini. Bagaimanapun, memandangkan Aidilfitri diraikan setahun sekali, saya memang berharap agar dapat meluangkan waktu bersama keluarga,” tuturnya lembut.





Identiti sendiri

Berbicara tentang perjalanan kariernya yang semakin berkembang, Janna mengakui peminat mula memberikan reaksi positif terhadap penglibatannya sebagai pengacara Melodi.

Diberi kepercayaan untuk mengendalikan program tersebut sejak Januari lalu, Janna tidak menafikan dia kini mula berasa selesa dengan tugas baharu itu selain berusaha untuk memperbaiki kualiti pengacaraannya.

Lebih memberi cabaran buatnya, program yang pada kebiasaan bersiaran selama satu jam kini telah ditambah kepada sejam 30 minit.

“Saya bersyukur kerana setelah beberapa episod mengendalikan rancangan berkenaan, penonton telah mula memberikan reaksi positif dengan mengatakan percubaan saya ada peningkatan.

“Bagaimanapun, saya tidak mudah berasa selesa kerana masih mencari rentak dan identiti sebagai pengacara Melodi yang kini bersiaran selama sejam 30 minit,” jelas Janna.

Menjawab mengenai gandingannya bersama Ajak, Janna nyata tidak mempunyai masalah berganding bahu dengan pelawak tersebut.

Meskipun sebagai selebriti dia perlu menjadi tukang cerita kepada selebriti lain apabila mengendalikan program tersebut, Janna bagaimanapun memilih untuk bersifat terbuka.

Bagi wanita itu, dia bersikap profesional dan percaya rakan artis lain juga mempunyai batasan yang sama sepertinya apabila bekerja.

Dedikasi khas

Melanjutkan cerita, Janna memberitahu, dia bakal menjalani penggambaran sebuah drama rantaian berkisarkan tentang anggota badan beruniform.

Drama yang dihasilkan khas buatnya oleh pengarah Sheila Rusly bertajuk Leftenan Zana itu merupakan naskhah pertama Janna membawakan watak sebagai seorang anggota tentera.

“Sejak kecil saya seorang yang meminati kerjaya beruniform terutama polis tetapi tidak mempunyai rezeki kerana mempunyai masalah dengan penglihatan iaitu rabun.

“Saya juga menjadi individu pertama yang menyuarakan hasrat agar dia menghasilkan naskhah berbentuk dan terima kasih kerana telah merealisasikannya,” terang pelakon itu yang akan memulakan penggambaran naskhah tersebut selepas Aidilfitri.

Selain berbicara tentang termometer kariernya yang tidak pernah surut, Janna Nick yang bakal menyambut Aidilfitri di Rusia bercakap tentang hubungan baiknya dengan penyanyi yang baru putus tunang, Sufian Suhaimi.

Post a Comment

Previous Post Next Post