Achey semakin 
selesa menyanyi


Pertama kali muncul di atas pentas program hiburan, isteri Achey, Hasanah atau Anne (kiri) mendapat pujian peminat kerana mempunyai bakat lakonan.

Pelawak Achey mengakui dunia nyanyian memberi perspektif berbeza terhadap dirinya apabila menyifatkan ia cara untuk meluahkan perasaan sebagai seorang manusia.

Kata Achey, biarpun terkenal dengan imej lawak, itu tidak bermakna dirinya sentiasa dikelilingi dengan bahagia. Ada kalanya putaran roda kehidupannya tetap ada suka dan suka sama seperti orang lain.

Terdahulu, Achey memulakan bidang nyanyian dengan single sulung Yang Terindah yang dilancarkan pada tahun lepas. Selepas penerimaan yang menggalakkan, pemilik nama sebenar, Mohd. Nasir Hamza itu mahu mengeluarkan sebuah lagu baharu tidak lama lagi.

KOSMO!: Boleh kongsikan perkembangan terkini Achey?

ACHEY: Saya dan rakan-rakan dalam kumpulan Bocey muncul dengan sebuah program hiburan baharu berjudul Bocey & Friends Live di saluran Astro Warna sejak 23 Mac lalu. Ia suatu penghormatan kerana sudah setahun tidak bersama di atas pentas yang besar.

Selain itu, lagu kedua saya juga dalam proses pembikinan dan sekarang sedang menunggu waktu untuk dilancarkan.

Boleh jelaskan lanjut tentang single kedua anda?

Alhamdulillah selepas lagu Yang Terindah mendapat sambutan menggalakkan, saya akan menghadiahkan peminat peminat lagu kedua berjudul Takkan Hilang. Cuma buat masa sekarang belum dapat waktu untuk dilancarkan memandangkan ramai penyanyi lain sedang mengeluarkan lagu mereka.

Saya tidak mahu terburu-buru. Jadi, saya dan pihak pengurusan akan berbincang sama ada akan mengeluarkannya sebelum atau selepas Aidilfitri supaya ia tidak bertembung.

Adakah sekarang anda mahu fokus kepada bidang nyanyian pula?

Kenapa tidak? Lagipun saya memang suka menyanyi dan cipta lagu. Jika diikutkan untuk lagu Yang Terindah, saya cipta khas untuk isteri. Ia menceritakan perasaan, pengalaman dan perjalanan hidup kami bersama. Cuma saya tidaklah begitu tergesa-gesa atau beria kerana ini bukan bidang sebenar saya.

Ramai penyanyi profesional di luar sana yang lebih berbakat tetapi cukuplah saya katakan ini sebagai cara saya meluahkan perasaan dan pengalaman hidup.





Adakah penerimaan luar biasa terhadap lagu pertama membantu menaikkan semangat untuk bergelar penyanyi?

Sudah tentu. Apa yang saya boleh katakan adalah bidang nyanyian menampilkan sisi berbeza diri saya yang selama ini peminat nampak sebagai seorang pelawak dan kelakar.

Hakikatnya semua manusia sama, ada cerita duka dan suka. Orang melihat saya gembira sentiasa, jadi mungkin menerusi lagu saya dapat menceritakan bahawa kita semua adalah sama.

Bercerita tentang penampilan isteri anda, Nor Hasanah Yahaya pada program Bintang Bersama Bintang tempoh hari. Apa kata anda andai dia terlibat dengan industri selepas ini?

Saya pun terkejut juga melihat gelagatnya ketika menyertai program itu. Penglibatan dia juga sebenarnya pada saat-saat akhir kerana artis jemputan tidak dapat hadir pada malam persembahan.

Selepas diberi kebenaran oleh produksi, saya yakin dia boleh melakukannya kerana dia faham dan tahu jalan cerita yang ingin disampaikan. Jujur apabila menonton semula, saya nampak dia lebih menyerlah sehingga membuatkan saya banyak terdiam. Baru-baru ini memang ada dia dapat tawaran untuk membuat persembahan.

Saya tiada masalah, cuma dia yang tidak mahu. Barangkali dia hanya akan menerimanya kalau bersama saya kerana masih malu berdepan orang awam.

Post a Comment

Previous Post Next Post