Penyanyi dan pelakon, Elyana mempelawa orang ramai untuk menyertai larian Srikandi Run 2018 pada 12 Mei depan bagi membantu golongan pesakit kanser.
Menerusi larian tersebut, sebanyak RM1 akan disumbangkan kepada Tabung Kanser Elyana iaitu hasil daripada bayaran yuran penyertaan pada harga RM61 (peserta terawal), RM70 (biasa) dan RM79 (pendaftaran akhir).
Acara larian yang dianjurkan oleh Puspanita Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Perintis Group merupakan antara aktiviti sempena Karnival Puspanita 2018.
Kata Elyana, hasil daripada sumbangan tersebut bukan sahaja akan digunakan untuk menampung kos rawatannya, tetapi dia berhasrat untuk membantu pesakit kanser lain.
"Saya mungkin tidak dapat memberikan sumbangan wang ringgit kepada mereka tetapi diharapkan dengan bantuan ini dapat mengurangkan beban pesakit kanser yang lain.
"Saya mengucapkan terima kasih dan berasa terharu kerana mewujudkan tabung ini. Apabila ada khalayak membantu saya, tidak menjadi salah sekiranya bantuan tersebut turut diberikan kepada pesakit lain," katanya yang ditemui pada majlis Pelancaran Tabung Kanser Elyana dan Tabung Silaturahim Rakan-rakan Rockers Otai Klang di sini petang tadi.
Pada masa sama. Elyana turut menyimpan hasrat untuk melakukan aktiviti kelas solekan dengan pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi.
Katanya, individu yang pernah melalui proses kemoterapi pasti mengetahui perubahan pada bahagian fizikal termasuk berhadapan dengan masalah rambut gugur.
"Aktiviti seperti itu bukan sahaja dapat menggembirakan mereka tetapi secara tidak langsung ia turut dapat menghiburkan mereka di tambah pula dengan penampilan baharu. Ia pasti sesuatu perkara yang menceriakan mereka," jelas wanita berusia 30 tahun itu.
Elyana yang merupakan seorang penghidap kanser Limfoma sejak tahun lalu mula mendedahkan keadaan kesihatannya sebaik sahaja tersingkir dari konsert kelima Gegar Vaganza musim keempat tahun lalu.
Dalam pada itu Elyana turut mengharapkan agar pesakit mahupun ahli keluarga penghidap kanser dapat hadirkan diri ke acara Karnival Puspanita 2018 sebagai tanda sokongan.