Ayu Damit akui sukar dikenali


Jika dilihat perjalanan Ayu Damit dalam industri muzik, wanita berusia 29 tahun itu sepatutnya sudah berada di puncak, sebaris dengan artis seperjuangannya.

Alasannya mudah, Ayu atau nama lengkapnya, Norayu Damit tembus ke dalam industri hiburan berbekalkan predikat sebagai pemenang tempat pertama pertandingan nyanyian One In A Million musim kedua (OIAM2) yang pernah mencetuskan fenomena sekitar 11 tahun lalu.

Namun entah di mana silapnya, nama Ayu tidak mampu bertahan lama dalam kotak fikiran peminat. Jika tidak kerana lagu Hanya Di Mercu, single kemenangan Ayu menerusi OIAM, barangkali peminat akan terus melupai wanita yang kini telah bertudung litup itu.

Berkesempatan bertemu dengannya pada sidang akhbar pengumuman Majlis Makan Malam Amal: A Night of Hope di Hotel Palace of The Golden Horses, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ayu mengakui hakikat tersebut.

Mengakui salah sendiri sehingga menyebabkan diri kurang dikenali, Ayu berkata, ia barangkali disebabkan ‘cuti’ panjang yang diambil selepas namanya dicanang sebagai juara OIAM2.

“Salah saya juga kerana tidak konsisten dalam industri. Selepas menjuarai OIAM, saya banyak menghilangkan diri daripada radar dunia hiburan.

“Mungkin disebabkan tidak komited dengan dunia nyanyian, saya kurang dikenali dalam kalangan khalayak,” katanya.

Menurut Ayu lagi, peminat lebih mengenalinya dengan nama pentas yang digunakan sebelum ini iaitu Ayu OIAM.

“Apabila menyebut Ayu Damit, ramai yang tidak tahu tetapi mereka kenal saya jika saya memperkenalkan diri sebagai Ayu OIAM.

“Saya akui sedikit terkesan tetapi ia tidaklah sehingga membebankan kerja-kerja harian. Tambahan pula, tawaran nyanyian masih diterima seperti biasa. Jadi, isu tentang nama bukanlah satu masalah besar,” katanya lagi.

Kini sibuk menguruskan ladang kelapa dan cili padi, Ayu juga merancang untuk menerbitkan single baharu dalam masa terdekat. Namun, Ayu tidak mahu menyegerakan penerbitan single tersebut kerana bimbang kualitinya tidak mencapai piawaian yang diharapkan.

“Sebenarnya, saya sudah merakamkan sebuah lagu tetapi selepas mendengar rakaman tersebut, saya tidak berpuas hati.

“Jadi, saya tangguhkan dahulu pelancaran single berkenaan. Jika diberi kesempatan, saya mahu rakamkan semula lagu tersebut dengan susunan muzik baharu,” kata Ayu.





Dalam pada itu, Ayu turut meluahkan hasrat untuk bekerjasama semula dengan komposer yang pernah menerbitkan album perdananya, Inspirasi.

“Saya masih menyukai lagu-lagu yang ada dalam album tersebut. Kalau boleh, saya mahu bekerjasama dengan Aubrey Suwito dan Azlan Abu Hassan.

“Bagi saya, mereka mempunyai sentuhan sendiri dalam pembikinan lagu dan memahami vokal saya sebagai penyanyi,” katanya lagi.

Sementara itu, berkenaan dengan penglibatannya dalam Majlis Makan Malam Amal: A Night of Hope yang akan diadakan esok (21 April), Ayu sangat teruja memandangkan majlis tersebut turut menampilkan dua penyanyi kegemarannya, Nourul Depp dan Liza Hanim.

Lebih istimewa, majlis tersebut merupakan anjuran National Diabetes Institute (Nadi), iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang memberi kemudahan rawatan kepada pesakit-pesakit diabetes.

“Selama ini, saya tidak pernah berjumpa dengan Liza Hanim. Jadi, majlis ini saya anggap istimewa kerana dapat berkongsi satu pentas dengannya.

“Pada masa sama, ia merupakan sebuah majlis amal untuk kanak-kanak yang menghidap diabetes. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk melakukan kerja amal sambil menghiburkan mereka yang hadir,” tutup Ayu.

Post a Comment

Previous Post Next Post