Dasha LoganRakam lagu Alleycats versi baharu


Penyanyi kelahiran Malaysia mencipta nama di United Kingdom Dasha Logan, 30, merancang untuk merakamkan semula lagu popular dendangan kumpulan Alleycats pada tahun ini.

Menurut anak mendiang vokalis Alleycats, Loganathan Arumugam itu dia ingin merakamkan semula lagu popular itu bukan untuk bersaing dengan bapanya sebaliknya bagi menarik golongan muda menghayati lagu popular kumpulan itu.

"Saya akui tidak ramai golongan muda mengenali kumpulan Alleycats dan dengan merakamkan semula lagu Alleycats dalam versi baru di harap dapat menarik minat golongan muda di negara ini.

“Saya mahu merakamkan satu atau dua lagu Alleycats buat permulaan. Ia sebagai percubaan melihat sambutan peminat muda tempatan.

“Maklumlah, Alleycats memiliki pengaruh besar dan pengikutnya yang tersendiri sejak dulu.

“Apa yang penting, lagu yang akan saya rakam semula itu mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan peminat kumpulan itu,” katanya.

Dasha berkata, dia juga memiliki lebih seratus lagu dalam simpanannya.

“Saya juga ada perancangan untuk mencipta lagu istimewa untuk mendiang bapa tetapi belum ada kekuatan untuk menghasilkannya lagi.

“Walaupun bapa sudah meninggalkan kami selama 11 tahun, saya masih sukar menerima hakikat itu.

“Saya masih lagi bersedih dan merinduinya setiap hari,” katanya.

Dasha ditemui pada sidang media MVTV Asia - Inspirasi YES Malaysia di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Dasha antara selebriti tempatan dipilih sebagai ikon Belia Hiburan @Young Entertainment Star (YES) oleh MVTV Asia -Inspirasi YES Malaysia yang juga projek kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Mengulas lebih dikenali di luar berbanding di negara sendiri, Dasha akui mahu keluar dari kepompong dan jadi contoh kepada generasi muda di negara ini.





“Saya mula menyanyi dalam bilik air dan banyak menyertai pertandingan peringkat sekolah pada peringkat awal pembabitan dalam bidang seni dulu.

“Saya juga ingin membuktikan pada semua diri ini bukan sekadar anak mendiang kumpulan Alleycats tetapi penyanyi yang boleh menyanyi pelbagai bahasa.

"Sebab itu, apabila dewasa, saya memberanikan diri mencuba nasib di London sejak enam tahun lalu.

“Ternyata, percubaan saya berjaya dan single pertama berjudul Cleverly berjaya menarik peminat di sana

"Selain ulang alik ke London, saya juga merancang untuk membuat persembahan di Hong Kong dan New York pula selepas ini," katanya.

Nama Dasha mula meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila single sulungnya Cleverly berjaya menembusi carta keempat dalam carta UK Soul pada 2014.

Malah, lagu Cleverly gandingannya bersama Paul Johnson mendapat sambutan positif di iTunes dan Spotify selain aplikasi muzik lain seperti Shazam dan Soundhound.

Post a Comment

Previous Post Next Post