Penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz merancang menamatkan zaman solo dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Yasser Khan, tahun depan.
Menurut pemilik nama sebenar Azira Shafinaz Ramlan, 27, pada mulanya, dia mensasarkan untuk berkahwin pada tahun ini tetapi nampaknya tidak kesampaian kerana komitmen dengan karier seni yang padat.
"Saya memang tidak dapat mengelak apabila soal kahwin diajukan pihak media ketika ini. Bukannya saya mahu sorok soal kahwin daripada peminat.
"Terus terang, saya memang mensasarkan usia 27 tahun untuk berkahwin dan saya pernah beritahu perkara itu kepada pihak media sebelum ini tetapi nampaknya jodoh saya belum sampai lagi pada tahun ini.
"Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, saya dan kekasih sudah sepakat untuk mengakhiri hubungan kami ke jenjang pelamin pada tahun depan.
"Saya akan umumkan berita baik itu kepada semua pihak media dan peminat bila kami sudah putuskan tarikh hari bersejarah kami nanti," katanya.
Ditanya sama ada dia bimbang popularitinya jatuh merudum selepas berkahwin, Azira yang juga anggota De Fam percaya pada soal rezeki yang ditetapkan Allah.
"Jika saya terlalu memikirkan soal populariti akan merudum sampai bila-bila pun saya tidak akan berkahwin dan membina keluarga.
"Saya percaya rezeki pasangan yang berkahwin akan bertambah apabila kita mendirikan masjid seperti dituntut agama islam.
"Peminat sekarang sudah bijak menilai seseorang artis bersandarkan bakat dan bukan soal populariti semata-mata," katanya.
Azira ditemui pada sesi temubual bersama hos Pop! TV dan Pop! Express di studio ntv7 Glenmarie Shah Alam, baru-baru ini.
Pada masa sama, kata pengacara program Pop! TV dan Pop Express di saluran ntv7 ini, dia dan kekasihnya sudahpun mengenali hati budi masing-masing sepanjang tempoh lima tahun menjalinkan hubungan mereka.
"Saya percaya tidak elok jika pasangan bercinta terlalu lama tanpa ikatan sah.
"Saya tidak mahu terlalu menjaja kisah cinta kami kerana si dia juga mahukan privasi.
"Apa yang penting, saya berharap semua pihak doakan yang terbaik buat hubungan kami hingga ke fasa jenjang pelamin," katanya.