Altimet bereksperimen menerusi Air


Single baharu Altimet berjudul Bunga mengangkat isu hutang sebagai tema.

Selepas lagu Mambang menjadi tular sehingga mendapat tempat ketiga dalam laman perkongsian video YouTube, pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32, Altimet muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Bunga.

Merupakan hasil kolaborasi Altimet bersama komposer Omar K dan John Jeevasingam, Bunga diselitkan unsur etnik serta dipadankan dengan rentak hip hop.

Menurut pelantun lagu Amboi itu, jika melihat tajuk yang pendek dan ringkas mungkin peminat akan menganggap lagu tersebut berkonsepkan pop romantis tetapi jangkaan sebegitu meleset sama sekali.



Beli album Altimet - Air

“Bunga memberikan beberapa maksud berlainan tetapi ketika menulis lirik lagu ini, saya dan penggubah lagu ingin menekankan situasi yang sering berlaku dalam masyarakat kita.

“Lagu ini berkisarkan hutang yang sering dialami hampir setiap individu dan ia menjadi isu global,” katanya pada majlis pelancaran album terbaharunya, Air di Timbre@ The Row, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Altimet, dia memilih untuk mengetengahkan isu hutang sebagai tema lagunya kerana boleh dikatakan kebanyakan individu mempunyai masalah hutang sama ada berhutang dengan institusi atau individu, malah negara turut berhutang.

“Saya sendiri sedang mengejar kehidupan bebas hutang,” katanya yang akan membuat siri jelajah untuk mempromosikan albumnya di seluruh negara.





Eksperimen

Bercerita berkenaan konsep klip video lagu tersebut, Altimet memberitahu, ia mendapat sentuhan Fluid dan diarahkan oleh Muit Zulhelmi dengan kerjasama Cha Azarikh serta Afiqa Zahira.

Penyanyi yang turut terkenal dengan lagu Kalau Aku Kaya itu juga menjelaskan, klip video tersebut turut diselitkan dengan unsur wayang kulit dan duit berbentuk bunga menerusi ilustrasi grafik digital.

“Lagu ini boleh didapati melalui kesemua platform digital bermula 30 Mac lalu,” jelasnya.

Berbicara lanjut mengenai album terbaharunya berjudul Air, Altimet memperoleh inspirasi daripada idolanya sejak kecil iaitu Bruce Lee.

Jelasnya, mutiara kata Bruce Lee iaitu ‘be like water’ mencetuskan inspirasi buatnya untuk menghasilkan album tersebut.

“Seperti yang kita tahu, sifat air itu sendiri apabila mengalir ia akan mengikut sebarang bentuk acuan dan alasan itu mendorong saya untuk bereksperimen.

“Melalui album ini, saya menyesuaikan lirik ke dalam muzik yang telah dicipta oleh komposer seperti Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe dan Music Kitchen,” katanya.

Kongsi Altimet lagi, sebelum ini dia yang menentukan hala tuju lagu yang digubah. Bagaimanapun, berbeza pada kali ini apabila dia perlu menyesuaikan diri dengan lagu yang digubah komposer lain.

Kata Ikon Belia Negara itu, konsep tersebut memberikan cabaran buatnya untuk menghasilkan lirik yang bersesuaian selain memberi kebebasan kepada komposer untuk berkarya.

“Sememangnya saya teruja serta bermotivasi untuk menghasilkan lirik yang bagus selepas mendengar setiap gubahan lagu yang diberikan kepadanya.

“Ketika mula-mula mendengar melodi untuk Bunga, ia seperti berubah-ubah dan saya terfikir bagaimana mahu menyesuaikan lirik dengan lagu tersebut. Akhirnya saya berjaya melakukannya,” jelas Altimet yang menyiapkan album berkenaan tahun lalu.

Kongsinya lagi, album tersebut memuatkan enam lagu yang dipersembahkan bersama Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Baraka Blue, Kidd Santhe, Ashtin dan Aina Abdul.

Ketika ditanya persepsi masyarakat yang menganggap dirinya mencipta lagu untuk menyindir dan menghentam seseorang, Altimet memberitahu, setiap lagu yang dihasilkan merupakan pengalaman sendiri.

“Saya menghasilkan lagu melalui pengalaman dan pemerhatian. Jika mereka membuat interpretasi bahawa berdasarkan pengalaman mereka, terpulang.

“Bagi saya, setiap lagu yang dihasilkan mencerminkan diri sendiri dan tidak menyindir sesiapa,” jelasnya yang yakin terdapat golongan peminat masih membeli album fizikal walaupun trend muzik masa kini lebih cenderung ke arah penghasilan single.

Post a Comment

Previous Post Next Post