Chacha Maembong tidak lagi dibayangi kakak


Selepas tujuh tahun, Chahca berpuas hati apabila dia kini tidak lagi menjadi bayangan kakaknya, Emma dan mampu dikenali atas bakat sendiri.

Tempoh tujuh tahun bergelar anak seni, sudah banyak perkara pahit dan manis dilalui pelakon Chacha Maembong termasuk kisah kontroversi.

Namun, seiring dengan kematangannya menghadam sepak terajang dunia hiburan membuatkan pelakon berusia 22 tahun itu tidak lagi mahu terlibat dengan sebarang kisah panas.

Akui pemilik nama sebenar, Siti Aisyah Ismail itu, apa yang diraihnya kini tidak lagi bersandar kepada populariti kakaknya iaitu Emma Maembong. Sebaliknya ia hadir atas usaha kerasnya selama ini.

Dia ditemui baru-baru ini pada sesi temu ramah calon Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) apabila tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Pilihan untuk drama Muzium Misteri.

KOSMO!: Boleh komen sedikit tentang pencalonan Chacha dalam DFKL2018?

CHACHA MAEMBONG: Syukur alhamdulillah dengan rezeki ini walaupun secara jujur saya sangat terkejut kerana tercalon.

Memandangkan ini kali pertama tercalon dalam DFKL, jadi perasaan sangat gementar kerana ia kategori yang besar dan calon lain semua hebat.

Walaupun drama ini komedi tetapi apabila tercalon, ia membuktikan lakonan saya semakin dihargai peminat dan orang industri.

Bagaimanakah anda melihat tahun ketujuh berada dalam industri daripada perspektif seorang anak seni?

Selama tempoh ini, banyak perkara yang telah mendewasakan saya. Hal itu termasuklah bagaimana untuk mengawal setiap perkara dalam hidup dan sentiasa merendah diri.

Apa yang paling penting adalah sekarang saya mahu meningkatkan mutu dan kualiti lakonan walaupun kadangkala hidup ini ada fasa naik dan turun.

Kini anda tidak lagi dibayangi oleh populariti Emma dalam industri. Bagaimana rasanya?

Kalau dahulu tidak dinafikan bahawa orang kenal saya kerana kakak dan sejujurnya tidak pernah terasa dengan perkara itu.

Pada waktu itu mungkin adalah tempoh untuk saya baru membina nama.





Sekarang saya percaya peminat sudah bijak menilai bakat seseorang pelakon dan mereka tidak bosan dengan serta dapat menerima kehadiran saya dalam industri.

Awal tahun lalu anda pernah terlibat dalam kemalangan kereta bersama pelakon Didi Astillah. Boleh ceritakan pengalaman selepas kejadian itu?

Syukur kerana saya masih bernyawa sehingga ke hari ini. Walaupun bukan salah sendiri tetapi saya mengaku ketika kejadian berlaku membuatkan saya berfikir-fikir macam soal hidup dan mati.

Disebabkan kemalangan itu juga, sampai sekarang saya masih tidak berani memandu, sebaliknya bergantung pada rakan-rakan atau perkhidmatan kereta sewa.

Anda tidak pernah sunyi daripada gosip cinta, boleh dijelaskan apakah punca yang menyebabkan anda selalu terkait dengan hal sedemikian?

Saya bukan jenis yang mudah mencari pengganti tetapi kalau ada yang datang, okey sahaja untuk berkawan. Sekarang saya masih belum terfikir untuk membawa perhubungan ke peringkat serius kerana fokus adalah untuk kerjaya dahulu.

Sebab saya ada perancangan untuk membuka perniagaan kafe memandangkan memang minat dengan bidang membuat kek dan pemanis mulut.

Boleh kongsikan sebarang perkembangan terkini anda?

Dalam masa terdekat, saya bakal terlibat dengan sebuah penggambaran filem berjudul Garang terbitan sebuah produksi dari India.

Penggambaran akan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, cuma produksi sahaja dari sana. Ia turut dibintangi Pablo Amirul dan abang saya sendiri, Ahmad Maembong selain Emma juga turut serta selaku pelakon undangan.

Selain itu, ada beberapa projek lain terbitan RTM iaitu Geng Tadarus dan Bintang Radio.

Post a Comment

Previous Post Next Post