Kesan stailo Wany Hasrita


Jellyta by Wany Hasrita - Suplemen Jellyta boleh didapati menerusi stokis-stokis terpilih di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

Sewaktu penyanyi baharu, Wany Hasrita melangkah masuk ke dalam industri seni dua tahun lalu, dia turut membawa satu lagi bayangan iaitu imej sopan dan gaya muslimah bersamanya.

Pada mata peminat, itulah Wany yang mereka minati dan tiada sebarang perubahan patut dibuat pada penampilannya walaupun sedikit kerana pemilik wajah manis itu sudah cukup jelita.

Atas sebab yang sama, baru-baru ini timbul insiden yang mencetuskan sedikit kontroversi membabitkan pemakaian wanita berusia 26 tahun tersebut apabila peminat melabelkan dirinya semakin seksi.

Hanya kerana dia tidak memakai selendang yang menutupi dada, kempen baju raya Rindu by Wany Hasrita bertukar menjadi kelat dan dijadikan bahan netizen untuk mengecam pemilik nama penuh Nursyzwany Hasrita Hasbullah itu.

“Saya faham dan terima kerisauan orang ramai, terutamanya peminat kerana mereka tidak biasa melihat saya berfesyen begitu sebelum ini.

“Saya ambil semua kritikan dan komen sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa hadapan, insya-Allah,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Jellyta by Wany Hasrita di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terbatas

Bercerita lanjut soal penggayaan baju dan jenis fesyen yang ‘dihalalkan’ untuk wanita berusia 26 tahun itu, Wany tidak mahu persepsi peminat menjadi batasan buatnya tampil lebih bergaya.

Kata Wany, dia mengambil tanggungjawab mengakui kesilapan diri sendiri atas apa yang berlaku kerana tidak mempunyai keberanian bersuara bagi menegakkan prinsip pemakaiannya sewaktu menggayakan busana tajaan.

Dia juga tidak malu untuk mengakui masih dalam proses pembelajaran dan adakalanya belum benar-benar sempurna memakai hijab mengikut syariat Islam.

“Saya tidak boleh salahkan orang memarahi saya kerana saya sendiri yang meletakkan gambaran Wany Hasrita sebegitu dalam pemikiran peminat. Secara logiknya, mereka tidak salah kerana ia memang termaktub dalam agama Islam agar tudung wanita biarlah melepasi paras dada.

“Saya akan cuba berubah perlahan-lahan. Apa yang boleh diperbaiki untuk kelemahan ini adalah dengan bersuara atau menyatakan pendirian tetap dalam pemilihan stail tudung agar menutup dada sepertimana yang sering saya pakai selama ini,” jelasnya tenang.

Menyentuh sedikit tentang penampilannya yang sekadar bertudung bawal dan bersut ungu pada majlis pelancaran produk terbaharunya itu yang kelihatan sangat ringkas dan kosong, Wany mengakui sememangnya dia seorang yang sederhana.

Tidak takut dilabel kampung dengan penampilannya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, sebelum ini dia tidak terlalu mengikut gaya moden terkini dan enggan berubah hanya untuk menempatkan diri dalam masyarakat.

“Inilah Wany Hasrita yang selesa dan sukakan tudung bawal serta pakaian yang tidak sarat dengan perhiasan. Mungkin bagi sesetengah orang ringkas mereka adalah berturban kerana tidak perlu membelit tudung tetapi bagi saya, bawal pilihan utama,” tuturnya lagi.





Serik gosip cinta

Beralih perbualan ke arah isu yang lebih sensitif, sebagai wanita cantik yang masih belum berpunya dan biarpun seteguh benteng dia bertahan, Wany turut tidak terlepas daripada terkena khabar angin berhubung percintaan.

Sehingga kini, sudah ada tiga jejaka berbeza terdiri daripada rakan-rakan artis iaitu Tajul, Khai Bahar dan Fairuz Selamat (bekas vokalis Q-Face) dikatakan menjalin hubungan istimewa dengannya. Tanpa berselindung, Wany akui isu tersebut membuatkan diri berasa sedikit tidak selesa.

Hal ini kerana kebanyakan peminat terutama daripada golongan lebih berusia mempercayai gosip tersebut dan sering bertanyakan soal berkenaan kepada ibunya, Norita Jaafar jika bertemu dalam sebarang acara.

“Saya kasihankan ibu kerana dia adalah ibu tunggal dan saya pula tinggal hanya berdua dengannya. Apa pula pandangan orang kepadanya apabila anak daranya terpalit kisah dengan lelaki.

“Jadi, selepas ini saya akan cuba menjarakkan diri daripada lelaki tidak kira artis atau tidak, supaya tiada lagi gosip liar seperti ini muncul,” luahnya tegas.

Sempat ditanya adakah dia sendiri sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, Wany percayakan jodoh, jika sudah sampai masanya, dia akan menerima dengan terbuka.

“Saya mahu mengelak untuk bercinta dan mahu terus berkahwin sahaja. Namun, seboleh-bolehnya soal kahwin itu tidak akan terjadi dalam masa setahun dua ini kerana saya mahu mengukuhkan tapak dalam industri terlebih dahulu,” katanya tertawa.

Tambah pelantun lagu Menahan Rindu itu lagi, antara usaha yang dilakukan bagi mengelak daripada digosipkan dengan lelaki adalah menceburkan diri dalam perniagaan.

Menerusi produk Jellyta by Wany Hasrita yang baru dilancarkan, dia berharap tidak wujud ruang dalam jadualnya untuk tular dengan kisah-kisah sensasi.

Mendapat ilham untuk mengeluarkan produk makanan kesihatan tersebut sewaktu berasa lapar ketika menunggu giliran persembahan, langkah tersebut merupakan pelaburan masa depan buat sekiranya sudah tidak lagi menyanyi.

“Saya bersyukur kerana mempunyai latar belakang pendidikan sains perubatan yang banyak membantu dalam penghasilan Jellyta by Wany Hasrita. Ramuannya terdiri daripada makanan sunnah seperti kurma, madu dan safron yang mengenyangkan.

“Semoga produk saya boleh diterima dan menambahkan pilihan pengguna dalam mencari suplemen untuk kegunaan harian,” ujarnya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post