Syurga Yang Sempurna taruhan Isa Khan


Empat bulan lalu, Isa Khan meluncurkan single perdananya, Syurga Yang Sempurna. Ia merupakan material pengenalan buat Isa bagi mengukuhkan lagi namanya selepas menyertai program nyanyian Akademi Fantasia pada 2016.

Sungguhpun meletakkan seribu jiwa dan kepercayaan dalam lagu ciptaan bersama Room None tersebut, namun, Isa harus akur bahawa penerimaan khalayak terhadap sesetengah lagu tidak berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

“Saya akui respons peminat agak perlahan ketika lagu Syurga Yang Sempurna dilancarkan. Namun, selepas beberapa bulan, saya dapat lihat ada peningkatan terhadap tontonan menerusi video lirik di YouTube dan juga plaftform penstriman muzik seperti Spotify.

“Terbaharu, lagu tersebut juga telah mula dimainkan di radio. Alhamdulillah, saya lihat ia sebagai satu perkembangan yang sangat baik,” ujar Isa sambil mengukirkan senyuman.

Melihat situasi industri muzik pada hari ini, kebanyakan penyanyi, khususnya bakat-bakat baharu mula hadir dengan lagu-lagu berentak rancak.

Lagu-lagu berentak rancak bukan sahaja kedengaran lebih segar, malah, cepat diterima khususnya dalam kalangan pendengar dan peminat.

Menyedari tentang perubahan tersebut, Isa bagaimanapun lebih selesa untuk menyanyikan lagu genre balada yang dianggap lebih sesuai dengan warna suaranya.

“Saya tidak berani untuk mengambil risiko merakamkan lagu rancak sebagai single pertama kerana bimbang ia tidak bersesuaian dengan suara.

“Jadi, biarlah lagu ini ambil masa untuk menangkap perhatian umum asalkan ia bersesuaian dengan vokal serta imej saya,” katanya yang turut aktif mempromosikan lagu Syurga Yang Sempurna dalam platform media sosial.

Sukar

Bercerita lanjut mengenai Syurga Yang Sempurna, pemilik nama lengkap Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan itu terpaksa melalui proses yang agak panjang sebelum berpuas hati dengan hasil akhir lagu tersebut.

Kongsi Isa, dia tidak mahu sekadar memasarkan single tanpa menitik beratkan soal kualiti, terutama pada bahagian produksi.

“Saya tulis Syurga Yang Sempurna sekitar tiga tahun lalu. Cuma selepas dilamar untuk bernaung di bawah MVM Music, barulah kami rombak semula susunan lagu untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Jujurnya, saya pentingkan kualiti dalam pembikinan lagu. Biar lambat, asalkan lagu saya sedap didengar dan seterusnya dapat diterima oleh peminat,” katanya.

Beralih pula kepada soal komposisi, Isa mengakui bahawa lagu tersebut memerlukannya menyanyi dalam nada yang sangat tinggi.

“Biarpun selesa menyanyikan lagu berentak perlahan, saya sedar yang lagu ini agak tinggi untuk dinyanyikan secara langsung. Jadi apabila diminta untuk menyanyi secara langsung, nota lagu tersebut akan direndahkan sedikit, sekitar separuh daripada lagu asal.

“Tentulah, akan ada sedikit perubahan pada lagu jika nota direndahkan. Tetapi, sebelum terkucil sewaktu menyanyi, lebih baik saya berwaspada,” katanya sambil tertawa.

Isa berkata, dalam masa yang sama, dia akan cuba memperbaiki diri untuk menyanyikan lagu tersebut dengan baik.

Cuma, dia enggan untuk memaksa diri kerana bimbang mengalami kecederaan pada kotak suaranya.

“Saya akan cuba untuk memperbaiki gaya nyanyian, tetapi tidak terlalu memaksa. Hal ini kerana, suara saya adalah sumber rezeki.

“Jadi, asalkan jiwa lagu sampai pada pendengar, sudah memadai,” katanya lagi.





Tular

Diajak berbicara mengenai gaya pemasaran lagu yang kerap digunakan oleh artis zaman sekarang, Isa tidak menafikan kuasa tular mampu menaikkan sesebuah lagu dalam kadar yang cepat.

Namun, ia bukan resipi pilihan Isa kerana lebih percaya pada cara tradisional yang selari dengan norma dan gaya hidup masyarakat tempatan.

“Sebenarnya, memilih untuk tularkan karya adalah hak masing-masing. Pada pendapat saya, tiada jalan pintas untuk meraih kejayaan.

“Seperti orang lain, saya perlu lalui rutin yang sama. Dari proses rakaman lagu sehinggalah promosi, saya perlu melibatkan diri seratus peratus.

“Jika kita berusaha dan karya kita juga bagus, insya-Allah, lama-kelamaan ia akan diterima ramai,” katanya positif.

Dalam pada itu, Isa turut melahirkan keinginan untuk menerbitkan single kedua pada masa akan datang.

“Ada beberapa lagu yang telah saya tulis tetapi masih terperam tidak terusik. Mungkin jika diberi kesempatan, saya akan muncul dengan single kedua.

“Mana tahu, saya akan hadir dengan lagu rancak pula,” katanya.

Komedi

Dalam perkembangan lain, Isa baru sahaja melunaskan penggambaran bagi drama bergenre komedi berjudul Bimbi & Bonni Misi 007.

Sudah mula ditayangkan di Astro Warna 132 bermula 14 Mac lalu, drama arahan Michael Ang itu menyaksikan Isa menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang watak utama.

“Saya memegang watak Ash iaitu kekasih kepada Bimbi lakonan Sharifah Sakinah. Menerusi watak tersebut, saya perlu kelihatan matang memandangkan watak Sakinah seperti keanak-anakan.

“Disebabkan itu, saya diminta untuk menyimpan jambang dan misai agar kelihatan sedikit matang berbanding sebelum ini,” katanya.

Sungguhpun kelihatan selesa berlakon di samping Sakinah, namun, Isa memberitahu yang dia sedikit gentar menjayakan drama berbentuk komedi.

“Saya akan kelihatan sedikit kayu kerana komedi bukanlah ‘makanan’ saya. Tetapi saya cuba yang terbaik memandangkan drama ini tidak sama seperti drama komedi yang lain,” katanya menutup perbualan.


Post a Comment

Previous Post Next Post