Bulna ini genaplah tempoh sedekad pelakon dan pengacara popular, Nabil Ahmad berkelana sebagai seorang anak seni. Jika sepuluh tahun lalu, dirinya hanyalah seorang budak penghantar surat atau digelar ‘mat despetch’, kini Nabil boleh dikatakan berada di kerusi yang jauh lebih selesa.
Daripada kehidupan berlegar-legar di atas jalan raya kepada sebuah kehidupan penuh glamor di kaca televisyen, pelawak berusia 35 tahun itu sebenarnya masih Nabil yang sama. Bahkan, katanya, sehingga hari ini, dia masih lagi sedar siapa dirinya.
“Dahulu saya pernah menjual burger pada waktu malam, manakala pada siang hari pula saya bekerja sebagai seorang despatch. Gaji pun dalam RM500, beri kepada ibu sebanyak RM100.
“Itu pun saya pernah pinjam semula wang daripada ibu RM50 selepas beri kerana tidak cukup. Bahkan, saya sendiri pernah rasa duit dalam poket hanya ada RM5 sahaja. Jadi, saya tidak nampak alasan kenapa saya perlu menyombong dengan orang lain sekarang,” kata pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad itu kepada Sensasi Bintang ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Nabil lagi, dia tidak pernah mahu mendabik dada dengan apa yang dimilikinya. Ini kerana, dia percaya dengan setiap rezeki yang diperolehnya itu bukanlah 100 peratus hak dirinya.
“Saya tidak ada pendidikan tinggi. Apa yang saya ada hanya peluang. Dalam ramai kawan saya ketika menjadi despetch dulu, Allah nak pilih saya untuk terima rezeki-Nya. Bagaimanapun, rezeki itu bukan untuk saya seorang.
“Jadi, kalau orang keliling yang pernah bersama saya datang minta tolong, saya tidak boleh kata tidak. Saya hanyalah tempat untuk Allah salurkan sahaja rezekinya agar saya boleh kongsikan dengan orang lain. Bukan untuk saya seorang,” ceritanya.
Kongsinya, apa dimiliki pada hari ini juga tidak akan ada tanpa sokongan daripada peminat-peminat yang selama ini menjadi tulang belakangnya. Justeru kata Nabil, sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa berada di sampingnya selama ini, dia mahu merakamkan momen indah sedekad bersama peminat di Tanah Suci Mekah.
“Insya-Allah, saya merancang untuk mengerjakan umrah bersama peminat pada bulan puasa nanti. Saya sudah menjejakkan kaki saya di sana. Jadi, saya mahu peminat-peminat lain merasai sendiri pengalaman yang sukar digambarkan.
“Saya mahu berkongsi dengan mereka. Jadi, saya rasa eloklah, sempena sedekad saya berada dalam industri ini, saya mahu bersama peminat ke sana,” katanya yang merakamkan momen itu sebagai sebuah program yang dipanggil My Umrah Story.
Bagaimanapun, nama peminat yang terpilih itu nanti akan diumumkan kelak pada sebuah majlis sambutan ulang tahun ke-10 dalam industri pada 24 Mac ini.
“Jadi, peminat yang mahu mengetahui lebih lanjut boleh mendapatkan maklumat menerusi Facebook myumrahstory dan Instagram @myumrahstory,” katanya.