Dua nama ini, Farah Nabilah dan As’ad Motawh masing-masing melebarkan sayap dalam lapangan seni masing-masing. Farah dalam bidang lakonan, As’ad pula menyinar dalam dunia nyanyian. Apa yang pasti, nama kedua-dua mereka antara yang mula menjadi tumpuan industri hiburan sejak tahun lalu.
Mempunyai pakej yang lengkap dari segi paras rupa, tidak dinafikan, ia menjadi tiket mudah kepada mereka berdua untuk mengecap populariti. Sungguhpun begitu, masing-masing yakin bahawa itu semua tidak akan hadir tanpa bakat.
Terbaharu, dua nama yang sedang meningkat naik itu tercalon dalam Top 5 dalam kategori Artis Baru MeleTOP menerusi Anugerah MeleTOP yang bakal berlangsung awal bulan depan.
Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual Farah dan As’ad untuk berkongsi cerita mengenai penangan populariti mereka hingga berjaya meletakkan diri dalam pencalonan akhir anugerah berkenaan.
Pada tahun ini kalian berdua berjaya meletakkan diri dalam pencalonan Top 5 bagi kategori Artis Baharu MeleTOP. Boleh kongsikan perasaan kalian?
FARAH NABILAH: Alhamdulillah. Saya sendiri tidak menyangka nama akan tercalon dalam kategori yang dipertandingkan. Sebenarnya ini merupakan pertama kali nama saya tersenarai dalam majlis anugerah seperti ini. Saya tidak terfikir akan berada dalam pencalonan kerana sedar bahawa sekarang ini ramai pendatang baharu.
AS’AD MOTAWH: Sebelum ini memang saya pernah tercalon dan memenangi anugerah lain. Bagaimanapun, bagi Anugerah MeleTOP ini, ia memang merupakan pencalonan pertama. Sudah pasti tercalon dalam lima pencalonan akhir ini sahaja sudah menggembirakan. Bagaimanapun, saya anggap ini semua rezeki daripada-Nya.
Secara peribadi adakah kalian merasakan pengiktirafan anugerah seperti ini kepada golongan artis penting dalam perkembangan kerjaya seni?
FARAH NABILAH: Jika kita menang, itu satu rezeki. Jika tidak pun tak mengapa. Bagi saya, pengiktirafan itu memang penting. Bagaimanapun, saya berlakon bukanlah sebab mahu mengejar anugerah. Apa yang penting kita kena tunjukkan bakat kita miliki. Secara tidak langsung orang luar yang akan menilai kita daripada bakat kerana itu lebih penting. Pada pendapat saya, ramai sebenarnya artis yang tidak pernah diberikan sebarang pengiktirafan atau memenangi anugerah, tetapi pada masa sama nama mereka tetap menyinar dan disebut-sebut kerana mempunyai identiti tersendiri.
AS’AD MOTAWH: Pengiktirafan ini ibaratnya macam satu penghargaan juga buat golongan artis yang sudah bekerja keras untuk berikan yang terbaik kepada industri dan peminat. Saya sendiri tidak nafikan, pengiktirafan itu juga membuatkan kita dapat merasakan apa jua usaha dan penat lelah kita selama ini berbaloi. Pada masa sama, sekurang-kurangnya ia dapat membuktikan bahawa yang kita ini sudah mula diterima baik dalam kalangan pengikut industri. Dari situlah kita dapat menilai di mana kedudukan kita.
Pencalonan dalam kategori Artis Baru MeleTOP ini juga membuktikan kalian sebenarnya boleh dikatakan cukup popular. Sebagai pendatang baharu adakah kalian melihat populariti itu penting?
FARAH NABILAH: Populariti itu memang penting. Apatah lagi dalam keadaaan sekarang yang mana pelakon baharu ‘tumbuh bagai cendawan’ selepas hujan. Jadi, semestinya, penerbit dan penonton mahu melihat mereka yang dikenali di kaca televisyen. Cumanya, apabila sudah mengecap populariti, ada aspek lain yang perlu kita terima termasuklah ruang privasi yang semakin kurang. Apa sahaja yang kita lakukan orang akan pandang dan nilai.
AS’AD MOTAWH: Bukan untuk artis sahaja, bahkan saya melihat populariti artis itu sebenarnya berguna untuk rating sesebuah program. Ia dapat menarik minat orang untuk menonton atau mendengar. Sebenarnya saya tidak berapa gemar dilabel dengan ayat popular. Bukan apa, nanti apabila sudah tidak dikenali lagi, orang akan melabel diri saya sebagai ‘dahulu dia pernah popular’. Jadi, apa yang penting biarlah orang sedar kehadiran kita dan sentiasa kekal dengan momentum yang ada.
Bilakah sebenarnya kalian merasakan nama diri masing-masing mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat?
FARAH NABILAH: Saya kalau ikutkan sudah empat tahun berada dalam industri hiburan. Mungkin sebelum ini saya anggap sebagai tahun pemanas sahaja. Bagaimanapun, selepas membintangi drama Titian Cinta, orang mula melihat diri saya. Saya anggap ia merupakan titik perubahan dalam karier saya sebagai seorang pelakon. Pengikut di Instagram juga sudah menncecah 633,000 orang dek penangan drama tersebut.
AS’AD MOTAWH: Saya mula dikenali selepas membuat cover lagu Despacito yang pernah menjadi viral. Apabila saya tampil dengan single berjudul Senyum, daripada situ orang mula mengikuti saya sehingga pengikut di Instagram sudah mencecah 883,000 orang.
Siapakah finalis lain yang dilihat menjadi pesaing terdekat kepada kalian dalam pencalonan kategori yang sama dengan kalian?
FARAH NABILAH: Saya melihat rakan satu industri, Hannah Delisha sebagai artis yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Dia antara pelakon yang tengah meningkat naik juga.
AS’AD MOTAWH: Saya pula melihat penyanyi Wany Hasrita sebagai pesaing terdekat. Saya tidak dapat nafikan Wany mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.
Boleh kongsikan kepada peminat di luar sana mengenai perkembangan terkini kalian?
FARAH NABILAH: Saya kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 27 episod berjudul Halalkan Hati Yang Ku Curi. Drama itu nanti dijangka akan disiarkan untuk slot Akasia di TV3.
AS’AD MOTAWH: Saya akan ke Indonesia untuk menjadi salah seorang pengacara program televisyen, Inbox yang disiarkan di saluran SCTV. Selain itu, saya juga kini dalam proses menyiapkan single kedua yang dijangka akan diterbitkan pada bulan depan.