Zara Zya Bawa watak Lisa dengan cara sendiri


Kehebatannya menghidupkan roh setiap watak dalam drama usah dipertikaikan lagi. Gelaran si ratu drama yang diberikan kepadanya oleh segelintir peminat drama tempatan memberi gambaran jelas kanvas perjalanan anak seni bernama Zara Zya ini cukup indah dan penuh warna-warni.

Namun, sejak akhir-akhir ini kelihatan kamus hidup pemilik nama Zainurul Razia Mohd. Zainuddin ini tercalit sedikit coretan hitam.

Semuanya gara-gara beberapa perkara, bermula daripada pertanyaan apa istimewanya K-Pop?, memuat naik gambar memakai baju ketat di Instagram serta kesediaannya untuk mewarnakan rambut menjadi perang pada tahun lalu mengundang ‘tembakan’ kecaman bertalu-talu daripada netizen hingga ada yang menyifatkannya sebagai wanita jahat.

Jenuh menjelaskan perubahan tersebut dek kerana tuntutan watak untuk sebuah drama adaptasi Korea, Mona Lisa, sehingga kini Zara terpaksa berhadapan dengan setiap krtikan.

“Netizen tidak berpuas hati dengan penampilan baharu terutamanya apabila saya mewarnakan rambut perang sedangkan daripada awal saya telah menjelaskan ia adalah demi tuntutan watak sebagai Melisa(Lisa) untuk drama tersebut yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Meskipun sudah lama berlalu, hingga kini masih ada yang mengkritik serta menghantar mesej secara peribadi menerusi Instagram kepada saya untuk bertanyakan sampai bila saya mahu mengekalkan imej rambut bewarna perang,” jelasnya.

Tidak mudah getar dengan setiap tembakan kecaman sebaliknya anak kelahiran Perak ini punya alasan sendiri dengan setiap perkara yang dilakukannya.

Apa yang penting jelasnya, dirinya puas dengan perubahan itu.

“Sudah beberapa tahun saya dengan penampilan yang sama. Berambut panjang dan hitam serta memakai baju kurung.

“Jadi, ini adalah waktu yang sesuai untuk saya menukar imej. Saya berpuas hati dengan perubahan ini dan ia sangat sesuai dengan watak Lisa yang merupakan seorang gadis urban,” ujarnya turut memberitahu perubahan itu diterima baik oleh keluarga dan sahabatnya.



Dikecam lagi

Memandangkan Mona Lisa merupakan sebuah adaptasi sebuah drama terkenal Korea, The Women’s Room, sudah pasti pengikut setia drama itu sudah tidak sabar untuk menontonnya.

Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai drama adaptasi, satu perkara yang tidak akan tersasar jauh daripada putarannya adalah isu membandingkan kedua-dua naskhah terutamanya dalam kalangan peminat fanatik drama Korea itu.

Jadi adakah Zara sudah bersedia sekiranya sekali lagi menerima kecaman. Ini jawapannya.

“Ya, memang Zara risau dan takut orang akan membandingkan kedua-dua drama ini. Lagipun, peminat K-Pop sendiri pelik dan terlalu taksub.

“Namun, bila nak fikir pasal mulut dan apa orang cakap sampai bila-bila pun tak akan habis,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Bagaimanapun, Zara yang terkenal menerusi drama Love You Mr. Arrogant itu sudah melakukan sehabis baik dalam menggalas watak Lisa untuk menjayakan drama berkenaan.

“Saya dan barisan pelakon lain sudah melakukan sehabis baik.

“Lagipun, drama itu akan ditayangkan di televisyen, takkan kami melakukannya sekadar saja,” terangnya yang turut memberitahu, drama ini juga adalah satu alternatif dirinya untuk melakukan comeback.



Cara sendiri

Ironinya jika pelarut watak mahu lebih memahami dan menghayati watak yang dibawa maka mereka haruslah merujuk kepada drama asal naskhah tersebut.

Namun, ia berbeza bagi Zara kerana saat memutar topik yang sama, Zara mendedahkan dirinya tidak menonton The Women’s Room untuk menjiwai watak Lisa.

“Terus terang saya cakap. Saya tengok episod satu pun tak habis.

“Bukan apa, saya tidak mahu dibayangi dengan watak dalam drama itu kerana ia akan membuatkan saya lebih tertekan.

“Jadi, Zara cuba hayati watak Lisa dengan cara saya sendiri. Sekiranya sama, itu hanya kebetulan kerana saya memang tidak menonton drama berkenaan,” jelasnya.

Terus menyusun bait kata, Zara sempat menitipkan harapan untuk drama Mona Lisa.

“Sudah tentu saya mahu drama Mona Lisa mendapat sambutan hangat seperti drama saya sebelum ini, Love You Mr. Arrogant, Tuan Anas Mikael dan Isteriku Bukan Tukang Masak.

“Zara mahu naskhah ini menjadi sebutan orang. Bila saya keluar orang akan panggil Zara dengan nama Lisa. Apabila ia melekat dalam fikiran mereka bermakna naskhah itu berjaya.

“Kalau sekadar di angin lalu, rasanya agak kecewa juga kerana segala usaha yang kami buat tidak berbaloi,” ujarnya yang mengakui, ini merupakan naskhah pertama dirinya berlakon dalam sebuah drama yang panjang.

Mona Lisa yang bergenre Melodrama ini merupakan adaptasi naskhah The Women’s Room yang pernah menjadi fenomena sekitar tahun 2013.

Drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu mengisahkan tentang Melisa yang digambarkan mempunyai kehidupan sempurna dan memiliki segala-galanya.

Namun, perkenalannya dengan Ramona (lakonan Mona Allen) merubah segalanya.

Karya penuh dengan konflik perhubungan yang didorong perasaan khianat dan dengki demi mengecapi kebahagiaan akan mula bersiaran pada 20 Mac ini di saluran Astro Prima(105) dan Maya HD (135).

Post a Comment

Previous Post Next Post